PRN Melaka Bukan Masa BN Berasa Selesa – Amin Shukor
KUALA LUMPUR, 25 Sept – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan medan untuk Barisan Nasional (BN) berasa selesa dengan rekod kemenangan lalu, sebaliknya menjadi ujian untuk membuktikan bahawa parti itu masih mampu mengekalkan kepercayaan rakyat melalui kerja keras, kesatuan dan prestasi yang nyata.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Damansara, Amin Shukor berkata, kemenangan besar BN pada PRN Melaka 2021 tidak seharusnya dilihat sebagai jaminan bahawa keputusan sama akan berulang pada pilihan raya akan datang.
“Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan UMNO menyumbang 18 kerusi. Angka ini adalah satu rekod kemenangan semalam, tetapi dalam politik, rekod semalam tidak pernah menjadi jaminan untuk kemenangan hari esok.
“Fokus pertama mestilah kesatuan dan kebersamaan. Tiada ruang untuk perpecahan, ego atau kepentingan kelompok. Setiap pemimpin, jentera dan ahli mesti memahami bahawa dalam pilihan raya, kekuatan terbesar kita bukan hanya jumlah kerusi yang pernah dimenangi, tetapi keupayaan kita bergerak sebagai satu pasukan.
“Fokus kedua pula ialah rakyat. Jangan bercakap terlalu banyak tentang parti sehingga terlupa persoalan yang berada di meja makan rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, menambahbaik pendapatan, pendidikan, perumahan, peluang masa depan anak muda dan pembangunan ekonomi,” katanya.
Tambah beliau, politik yang dekat dengan rakyat ialah politik yang mendengar sebelum bercakap dan menyelesaikan sebelum berjanji.
Mengulas lanjut kata Amin lagi, berkaitan prestasi dan calon, BN telah menyatakan pendekatan pemilihan calon berasaskan prinsip “winnable, acceptable and likeable”.
“Ini penting kerana calon bukan sekadar nama di atas kertas, calon ialah wajah UMNO BN yang akan berhadapan secara langsung berkhidmat untuk rakyat. Paling penting juga adalah jangan anggap 21 kerusi sebagai hak milik kekal.
“BN telah menyatakan hasrat mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenangi pada 2021. Tetapi mempertahankan kerusi memerlukan lebih daripada slogan semata-mata.
“UMNO BN memerlukan disiplin jentera, kerja lapangan, komunikasi yang matang dan keupayaan membuktikan bahawa mandat yang lalu telah diterjemahkan kepada hasil untuk rakyat,” jelasnya.
Dalam pada itu beliau menegaskan Melaka tidak memerlukan politik yang terlalu bising, sebaliknya rakyat memerlukan kepimpinan yang tenang, bersatu, bekerja dan mempunyai hala tuju yang jelas untuk membawa negeri itu ke hadapan.
“Jika UMNO dan BN mahu terus mendapat kepercayaan rakyat, mesej mesti jelas. Jangan hanya pertahankan kerusi, tetapi pertahankan kepercayaan.
“Jangan hanya kejar kemenangan, tetapi buktikan kelayakan untuk memimpin,” ujarnya.
Menurut beliau, akhirnya rakyat akan menilai siapa yang benar-benar bekerja, siapa yang mampu membawa hasil, memberikan pulangan serta menterjemahkan segala usaha kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung.
“Bagi saya, kemenangan yang paling bermakna bukan sekadar menang di peti undi, tetapi menang dengan keyakinan rakyat,” tegasnya. – UMNO Online
