Terima Kasih Pengkalan Batu, Segala Kenangan Kekal Di Hati – Kak Som

KUALA LUMPUR, 23 Sept — Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka, Datuk Kalsom Noordin menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu atas sokongan, doa serta kebersamaan mereka sepanjang beliau menjalankan amanah sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.

Kalsom yang lebih dikenali sebagai ‘Kak Som’ berkata, tempoh lima tahun kelihatan singkat, namun cukup sarat dengan pelbagai kenangan, pengalaman serta hubungan erat yang akan terus disimpan dalam ingatan.

Beliau yang juga penyandang DUN Pengkalan Batu menjelaskan, sepanjang tempoh berkhidmat, berpeluang bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat, mendengar keluhan dan aspirasi mereka serta bersama-sama berusaha membawa perubahan demi menjadikan kawasan berkenaan lebih bersih, indah dan harmoni.

“Lima tahun mungkin terasa singkat, tetapi terlalu banyak kenangan, pengalaman dan kasih sayang yang Kak Som akan bawa bersama dalam hati.

“Sepanjang menjalankan amanah ini, Kak Som berpeluang bertemu dengan ramai warga Pengkalan Batu, mendengar cerita, berkongsi susah dan senang serta bersama-sama berusaha menjadikan kawasan kita lebih bersih, indah dan harmoni.

“Kak Som sedar, tidak semua yang dirancang dapat disempurnakan dan tidak semua keputusan mampu menggembirakan semua pihak. Jika ada kekurangan, kesilapan, kata-kata atau tindakan Kak Som yang mengguris hati sesiapa, Kak Som mohon maaf dengan setulus hati,” katanya.

Dalam pada itu, Kalsom yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Pengkalan Batu yang setiap senyuman, salam, teguran, doa dan kebaikan yang diterima sepanjang tempoh berkhidmat akan menjadi kenangan yang amat bermakna buat dirinya.

“Terima kasih kepada seluruh warga DUN Pengkalan Batu yang sentiasa menyokong, menegur, mendoakan dan bersama-sama membantu menjayakan setiap usaha untuk masyarakat.

“Segala senyuman, salam, teguran, doa dan kebaikan yang diberikan kepada Kak Som akan sentiasa menjadi kenangan yang sangat bermakna,” jelasnya.

Kalsom berharap hubungan yang terjalin bersama masyarakat Pengkalan Batu akan terus dipelihara dan semua pihak dapat bersama-sama meneruskan usaha menjadikan kawasan itu sebuah tempat yang bersih, indah dan harmoni.

“Semoga kita terus bersama menjadikan Pengkalan Batu bersih, indah dan harmoni, demi kesejahteraan seluruh warga dan generasi akan datang.

“Terima kasih, warga Pengkalan Batu. Terima kasih kerana menerima Kak Som sebagai sebahagian daripada keluarga besar kita,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO