Mohamad Hasan Ketuai Delegasi Malaysia Ke UNGA 81

NEW YORK, 23 Sept: Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-81 di sini bermula hari ini hingga 27 Sept, dengan Malaysia dijangka mengulangi komitmennya terhadap multilateralisme, undang-undang antarabangsa serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lebih kukuh dan berkesan.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Nadzirah Osman berkata penyertaan Malaysia berlangsung pada ketika multilateralisme semakin menjadi perhatian dan berdepan krisis kepercayaan yang kian meningkat, sekali gus menjadikan tindakan yang kolektif dan konkrit semakin penting.

“Dalam keadaan multilateralisme semakin menjadi perhatian dan berdepan krisis kepercayaan yang kian meningkat ini, masyarakat antarabangsa perlu bukan sekadar membuat ungkapan sebaliknya komited terhadap tindakan yang kolektif dan konkrit. Tiada negara yang mampu menangani cabaran global masa kini secara bersendirian,” katanya kepada wakil media Malaysia menjelang lawatan Mohamad di pejabatnya di sini pada Selasa (22 Sept).

Ini merupakan kali ketiga Mohamad mengetuai delegasi Malaysia ke UNGA sejak mengambil alih jawatan Menteri Luar pada Disember 2023.

Sesi ke-81 yang bertemakan Restoring Trust, Managing Transformation: A United Nations That Delivers for All memberi tumpuan kepada usaha membina semula keyakinan terhadap kerjasama global dalam mengharungi perubahan besar, khususnya aspek geopolitik, teknologi, ekonomi dan alam sekitar. Perbahasan Umum berlangsung dari 22 hingga 28 Sept.

Mohamad dijadualkan menyampaikan kenyataan negara bagi pihak Malaysia pada kira-kira 4.30 petang, 26 Sept (waktu New York), dengan isu utama yang akan dibincangkan termasuk memperkukuh multilateralisme dan mempertahankan undang-undang antarabangsa, isu Palestin serta ketegangan geopolitik di Timur Tengah, reformasi PBB dan Majlis Keselamatan, jurang pembangunan dan matlamat pembangunan mampan (SDG), serta inisiatif UN80.

Sebelum sesi Perbahasan Umum, Mohamad akan menghadiri beberapa mesyuarat peringkat tinggi, bermula 24 Sept dengan Mesyuarat Peringkat Menteri Suruhanjaya Pembinaan Keamanan, diikuti Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Mesyuarat Menteri bagi Menyokong Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) 2026, serta Mesyuarat Peringkat Tinggi bagi Menangani Ancaman Kewujudan akibat Kenaikan Paras Laut.

Pada 25 Sept, beliau akan menyertai Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Pencegahan, Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Pandemik, Mesyuarat Tahunan ke-50 Menteri-Menteri Luar Kumpulan 77 (G77) dan China, serta Mesyuarat Luar Biasa Peringkat Menteri Kumpulan The Hague bagi Mempertahankan Undang-Undang Antarabangsa.

Beliau juga akan menghadiri Mesyuarat Bersama Menteri Arab-Islam mengenai Baitulmaqdis dan dijangka menyampaikan kenyataan negara, serta Mesyuarat Peringkat Tinggi Kumpulan Sahabat kepada Perikatan Tamadun PBB (UNAOC).

Nadzirah berkata Mohamad turut dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dan menerima kunjungan hormat daripada menteri luar serta tokoh terkemuka dari Nepal, Iran, Kuwait, Ghana, Bosnia dan Herzegovina, serta Algeria.

Beliau juga dijadualkan bertemu dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, bertujuan memperkukuh kerjasama serta membina persefahaman mengenai isu serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama.

Beliau berkata beberapa perbincangan dua hala juga dijangka diadakan merangkumi kerjasama teknikal dan usaha untuk meningkatkan keberkesanan serta kecekapan sistem PBB, termasuk melalui inisiatif UN80.

Mengenai pencalonan Malaysia sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 2036-2037, Nadzirah berkata Malaysia akan berusaha secara aktif mendapatkan sokongan negara anggota PBB menjelang pemilihan tersebut pada Jun 2035.

Beliau berkata kali terakhir Malaysia menganggotai Majlis Keselamatan PBB adalah pada 2015 dan 2016, sambil menambah bahawa pencalonan itu mencerminkan komitmen teguh negara terhadap pemeliharaan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Berhubung peningkatan penyertaan wanita dalam kepimpinan PBB, Nadzirah berkata pertubuhan itu tidak pernah diterajui oleh wanita sejak penubuhannya pada 1945, walaupun terdapat pelbagai program dan inisiatif PBB yang berkaitan dengan wanita.

Beliau berkata tujuh calon kini bersaing untuk jawatan Setiausaha Agung PBB, dengan empat daripadanya adalah wanita, termasuk bekas pemimpin negara masing-masing yang membawa pengalaman dan latar belakang kepimpinan pelbagai. Proses pemilihan sedang berjalan dan Malaysia akan terus memantau perkembangannya.

Mohamad juga akan menganjurkan majlis makan malam untuk diaspora Malaysia di New York pada 26 Sept, bagi bertemu rakyat Malaysia yang bekerja dan menuntut ilmu di bandar raya ini serta kawasan sekitarnya. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO