KPM ‘Cari Pasal’? Kaitan MITI Dalam Ekuiti Bumiputera IPS Dipersoal
KUALA LUMPUR, 23 Sept – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta menjelaskan secara terbuka dan telus dakwaaan mengaitkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam keputusan menggugurkan syarat pemilikan ekuiti 30 peratus Bumiputera bagi pengendali Institusi Pendidikan Swasta (IPS).
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, berkata persoalan timbul apabila MITI mengeluarkan kenyataan berasingan yang menafikan penglibatannya dalam menentukan dasar berkaitan pegangan ekuiti Bumiputera bagi IPS.
Beliau mendakwa kementerian yang terlibat dalam perkara berkenaan sebenarnya ialah Kementerian Ekonomi dan bukannya MITI.

“Apa motif KPM dalam soal ini? Adakah ini cuba memberi gambaran dan berniat jahat (mala fide) bahawa Menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang juga daripada kepimpinan UMNO, bersekongkol untuk menghapuskan ekuiti Bumiputera yang didasarkan dalam Dasar Ekonomi Baru?”
Menurut Gulam Muszaffar, percanggahan kenyataan antara kementerian tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan serta persepsi bahawa wujud pihak tertentu yang cuba mengaitkan pemimpin UMNO dengan keputusan dasar tersebut.
Katanya, sekiranya MITI tidak terlibat dalam penentuan dasar berkenaan, KPM perlu menjelaskan mengapa kementerian itu disebut dalam kenyataan berkaitan isu ekuiti 30 peratus Bumiputera.
“Ini bukan satu perkara remeh dan main-main. Bila satu kementerian mengaitkan satu lagi kementerian yang sebenarnya tiada kena-mengena dengan dasar yang dibuat, ini betul-betul tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.
Beliau turut mendakwa perkembangan itu memberi gambaran seolah-olah wujud usaha untuk memburukkan menteri-menteri UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
“Hari itu isu MOF dengan KKDW, hari ini KPM dengan MITI pula. Ia memberi gambaran seperti ada gerakan cuba memburukkan menteri-menteri UMNO dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sehubungan itu, Gulam Muszaffar menggesa KPM memberikan penjelasan mengenai pihak yang terlibat dalam proses membuat keputusan dasar tersebut serta memperbetulkan sebarang kekeliruan yang timbul. – UMNO Online
