‘UMNO Bukan Penumpang, Tapi Tonggak Penting Kerajaan’

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim menegaskan UMNO perlu terus mempertahankan prinsip perjuangan dan memastikan suara parti kekal diberi tempat dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat berkata ini kerana penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah demi menjamin kestabilan negara, namun tidak seharusnya dicapai dengan mengecilkan suara serta peranan parti.

“UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan demi menjamin kestabilan negara, namun kestabilan tidak seharusnya dibayar dengan mengecilkan suara dan peranan parti.

“Malah UMNO bukan penumpang, tetapi antara tonggak penting yang memungkinkan kerajaan ini dibentuk dan terus berdiri,” katanya mengulas ucapan dasar Ketua Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Katanya, kerjasama yang terjalin perlu dilihat sebagai ruang untuk UMNO terus memperkukuh peranan parti dalam memperjuangkan kepentingan rakyat

Menurut beliau lagi, UMNO perlu kekal sebagai wadah yang berani menyuarakan kepentingan rakyat serta membawa aspirasi akar umbi dalam setiap dasar dan keputusan yang melibatkan masa depan negara.

“Setiap keputusan yang menyentuh kepentingan rakyat, khususnya agama Islam, orang Melayu dan Bumiputera, institusi Raja-Raja Melayu serta masa depan generasi muda, mesti mengambil kira suara dan pendirian UMNO.

“Kita boleh bekerjasama tanpa kehilangan prinsip. Kita boleh bertolak ansur tanpa menggadaikan maruah. UMNO mesti terus berani bersuara, teguh mempertahankan asas perjuangan dan membuktikan bahawa kehadirannya dalam kerajaan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat.

“UMNO bukan sekadar melengkapkan kerajaan, UMNO mesti turut menentukan arah negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO