Terus Bina Kepercayaan Rakyat, Bukan Sekadar Menang Pilihan Raya

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO perlu memberi tumpuan kepada usaha membina semula kepercayaan rakyat secara berterusan, bukan hanya menggerakkan jentera ketika pilihan raya.

Perwakilan Pemuda UMNO Pahang, Mustaqim Zakaria berkata perubahan pendekatan berkenaan perlu dilakukan dengan memperkukuh gerak kerja akar umbi, menguasai politik digital dan mendekati rakyat secara konsisten.

Menurutnya, perkembangan teknologi menjadikan media sosial sebagai medan penting untuk menyampaikan penerangan, membentuk persepsi dan mempertahankan perjuangan parti.

Katanya, satu peranti kini boleh berfungsi sebagai ‘markas’ penerangan, manakala satu video atau hantaran mampu menjadi medium ceramah serta membentuk naratif kepada masyarakat.

“Kita tidak boleh terus menggunakan cara lama untuk menghadapi cabaran zaman baharu. UMNO perlu cipta keluarbiasaan,” katanya ketika membahaskan usul pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2026 di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Beliau turut mengangkat agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan infrastruktur seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai usaha membuka peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi generasi muda, khususnya di Pantai Timur.

Sementara itu, Jurucakap Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohd Safbaryzal Abd Manaf berkata hubungan dengan rakyat perlu dibina sepanjang masa dan tidak hanya ketika pilihan raya.

Katanya, rakyat kini tidak mempunyai hutang kesetiaan kepada mana-mana parti dan hanya akan menyokong parti yang diyakini masih layak memimpin.

“Jangan tunggu pilihan raya baru kita turun padang. Jangan tunggu pilihan raya baru kita bina jentera. Kita mesti bina jentera sepanjang masa… bekerja ketika menang, bekerja ketika kalah dan bekerja ketika tiada pilihan raya.

“Pilihan raya mungkin datang lima tahun sekali, tetapi rakyat kita jumpa setiap hari,” katanya.

Mohd Safbaryzal turut mencadangkan sekurang-kurangnya 20 peratus ruang kepimpinan dan pentadbiran akar umbi diberikan kepada golongan muda berkelayakan.

“Jangan hanya bina jentera muda. Kita mesti bina pemimpin muda,” katanya.

Beliau turut menggesa Pemuda memperkasakan pasukan komunikasi digital di setiap peringkat bagi menyampaikan suara dan dasar parti, menjawab fitnah serta membetulkan fakta dengan lebih berkesan.

“Kalau kita mempunyai jentera yang kuat di darat dan pasukan digital yang kuat di alam maya, kita bukan sahaja mampu memenangi pilihan raya malah kita mampu memenangi persepsi dan keyakinan rakyat,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO