Talent Bank Wanita Perlu Jadi Platform Bina Pemimpin Baharu

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah, S Leza Md Yasin berpandangan keperluan untuk mewujudkan Talent Bank Wanita sebagai satu mekanisme tersusun bagi melatih lebih ramai bakat kepimpinan wanita.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah berkata langkah itu penting bagi memastikan barisan pelapis wanita dapat dibina sebagai persediaan memenuhi sasaran penglibatan kepimpinan wanita pada masa hadapan.

“Kalau kita mahu 30 peratus hari ini dan 100 peratus komitmen pada masa hadapan kita mesti mula membina barisan pelapis wanita dari sekarang.

“Kita cari wanita yang mempunyai potensi, latih mereka dalam kepimpinan, berikan pendedahan dalam pentadbiran dan dasar awam.

“Melalui ini kita bina kemahiran komunikasi dan pengurusan krisis berikan pengalaman apabila tiba masanya kita tonjolkan mereka ini kerana kita perlu melahirkan lebih ramai wanita yang mampu bercakap tentang ekonomi, fahami dasar, teknologi dan yang faham masalah masyarakat,” katanya yang merupakan pencadang sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Sementara itu penyokong yang mewakili Pulau Pinang, Siti Hawa Mohd Noordin berkata penyertaan wanita di universiti, membuktikan wanita mempunyai pengalaman yang diperlukan.

Namun katanya keadaan itu menunjukkan cabaran sebenar bukan berpunca daripada kekurangan kelayakan sebaliknya ruang untuk mereka memasuki arena politik masih terlalu sempit.

“Kita menuntut ruang kerana negara sedang membazirkan bakat. Malaysia tidak boleh mendidik wanita sehingga menjadi majoriti graduan, kemudian menghadkan mereka menjadi minoriti kecil dalam badan yang membuat undang-undang. Oleh itu, saya mencadangkan UMNO memulakan perubahan dari rumah sendiri.

“Pinda Perlembagaan UMNO untuk menjamin sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita bagi kerusi Parlimen dan DUN, bukan hanya 30 peratus jawatan dalam sayap, dan bukan pula wanita ditempatkan semata-mata di kerusi yang sukar dimenangi,” ujar beliau.

Sementara itu, pembahas politik mewakili Kedah, Suraiya Md Isa yang merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Padang Terap menyambut baik penubuhan Rumah Bangsa yang memberi ruang kepada semua pihak untuk kembali bersama parti

“Hari ini kita juga boleh lihat ramai yang kembali kepada UMNO… mereka dikenakan tindakan disiplin, digantung keahlian dan sebagainya tetapi mereka tetap bersabar tanpa mengkhianati UMNO.

“Kini mereka kembali untuk sama-sama berjuang dalam UMNO, kesetiaan mereka kepada UMNO tiada galang ganti… terima kasih yang tidak terhingga kepada Presiden atas penubuhan Rumah Bangsa ini, di mana Rumah Bangsa ini menerima sesiapa sahaja untuk masuk dan berjuang membela rakyat bersama UMNO,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO