Hormati Tuanku, Proses Pengampunan – Syed Mohd Johan

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menyeru semua pihak agar menghormati Yang di-Pertuan Agong serta proses pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau berkata semua pihak perlu mengelakkan sebarang bentuk tekanan politik atau kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai cubaan mempengaruhi proses pengampunan yang sedang berjalan.

“Saya tengok kenyataan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad ini seperti cuba membawa semula perbahasan kepada soal rasuah.

“Tapi isu yang kita cakap sekarang bukan lagi soal kes rasuah semata-mata. Soal sabitan, hukuman dan proses mahkamah, itu semua sudah berjalan. Hari ini isu dia lain.

“Apabila sesuatu perkara yang sudah masuk dalam ruang Perkara 42 dan proses Lembaga Pengampunan, maka hormatilah proses itu.

“Jangan sebelum apa-apa keputusan dibuat, sudah bina tekanan politik, main sentimen dan seolah-olah mahu tunjuk kepada Tuanku keputusan apa yang ‘sepatutnya’ dibuat,” katanya.

Menurut beliau, prinsip sama perlu dihormati tanpa mengira siapa yang terlibat, termasuk dalam soal pengampunan yang pernah diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau dulu pengampunan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dihormati, maka hari ini hormatilah prinsip yang sama.

“Jangan apabila kena pada kita, kita kata itu hak Perlembagaan. Bila kena pada orang lain, kita ubah cerita.

“UMNO bukan minta Tuanku buat keputusan tertentu. Kita cuma minta satu, jangan intimidasi, jangan tekan, jangan politikkan proses pengampunan.

“Perlembagaan bukan milik mana-mana parti. Hormati Tuanku. Hormati Perkara 42. Hormati proses,” katanya lagi.

Syed Mohd Johan berkata, kematangan dalam berpolitik juga perlu diterjemahkan melalui kesediaan semua pihak untuk menghormati institusi Raja Berperlembagaan dan mekanisme yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan.

Katanya, sebarang keputusan berkaitan kuasa pengampunan hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa mengenainya tanpa cuba mendahului atau menentukan keputusan tersebut menerusi tekanan politik dan persepsi awal.

Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan perlu dihormati secara konsisten, bukannya hanya apabila ia memberi kelebihan kepada sesuatu pihak.

“Kalau kita benar-benar percaya kepada Perlembagaan, maka kita mesti menghormati keseluruhan proses yang diperuntukkan, bukan memilih bahagian yang kita suka sahaja.

“Berbeza pandangan politik tidak bermakna kita boleh mempertikaikan atau menekan institusi yang dijamin oleh Perlembagaan,” katanya lagi.

Terdahulu, Saifuddin menerusi satu kenyataan berkata, kenyataan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa Pakatan Harapan (PH) kononnya mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong adalah satu tafsiran politik yang tersasar dan sengaja mengaburkan isu sebenar.

Malah kecenderungan beliau memetik secara langsung PH dalam kenyataan beliau menimbulkan rasa hairan kerana PH langsung tidak menyentuh mana-mana parti politik ataupun kes yang berkaitan dengannya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO