Migrasi Pengundi Muda Petanda Sokongan Kepada UMNO/BN Semakin Kukuh – Nuraini
KUALA LUMPUR, 11 Sept – Amanat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai pola pengundian anak muda yang semakin terarah kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) menjadi petanda bahawa sokongan terhadap parti semakin kukuh.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kedah, Nuraini Yusoff berkata, perkembangan berterusan yang bermula dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini diharapkan akan berkekalan di Melaka serta Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Alhamdulillah kita lihat Majlis Perasmian Persidangan Sayap sebentar tadi sangat meriah. Kita dapat lihat bahawa dewan penuh, perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri juga amat bersemangat. Hari ini merupakan hari Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang pertama dan saya rasa semua orang ‘looking forward’ untuk persidangan sayap esok.
“Antara perkara menarik yang disentuh sebentar tadi adalah mengenai ‘migration of voters’, terutamanya daripada pengundi muda yang kita lihat di PRN Johor dan juga Negeri Sembilan. Selepas ini di PRN Melaka, kita harap ‘trend’ ini berkekalan dan membawa kelebihan kepada BN, Insya-Allah.
“Persidangan Puteri pada kali ini agak istimewa kerana kali pertama kita ada dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menang pada PRN Johor dan juga Negeri Sembilan baru-baru ini. Ia merupakan persidangan yang istimewa. Kita berharap pada PRN Melaka, lebih ramai lagi wanita muda ditonjolkan sebagai calon,” katanya kepada UMNO Online.
Tambahnya, PAU pada kali ini diharap menjadi platform untuk menetapkan hala tuju dan strategi parti mendepani PRU ke-16.

“Kita berharap PAU kali ini menjadi platform untuk membincangkan lebih banyak lagi perkara yang masih tidak dapat dilaksanakan dan masalah dihadapi parti. Semoga PAU kali ini memberi satu aspirasi sebab tidak lama lagi kita akan menghadapi PRU ke-16.
“Sebentar tadi, Timbalan Presiden juga ada menyentuh mengenai sokongan anak muda. Apa yang saya lihat, anak muda pada hari ini membuat keputusan berdasarkan manfaat mereka bakal perolehi selain prestasi ditunjukkan oleh menteri-menteri parti meskipun UMNO/BN bukanlah kerajaan penuh pada penggal ini.
“Pesanan saya kepada para pewakilan, jangan lupa datang awal dan kekal berada di dalam dewan ketika persidangan. Berikan tumpuan kepada perkara dan agenda yang dibincangkan. Mudah-mudahan kita dapat membawa balik input ke kawasan masing-masing dan menjadikannya sebagai sumber kekuatan untuk meneruskan gerak kerja di akar umbi,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
