UMNO Negeri Sembilan Seru Rakyat Kekal Tenang, Hormati Adat dan Perundangan

KUALA LUMPUR, 9 Sept – UMNO Negeri Sembilan mengambil maklum dan memandang serius perkembangan terbaru berhubung proklamasi berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan turut mengambil maklum penjelasan serta pendirian yang dikemukakan oleh Undang Yang Empat menerusi sidang media pada 8 September 2026.

Screenshot

UMNO Negeri Sembilan menegaskan bahawa perkara yang menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Besar bukanlah perkara yang boleh ditentukan oleh mana-mana parti politik, kerajaan negeri atau mana-mana individu secara bersendirian.

Sebaliknya, perkara tersebut perlu dilihat dan diselesaikan dalam kerangka adat, prerogatif serta peruntukan perlembagaan negeri yang menjadi asas kepada keunikan sistem pemerintahan Negeri Sembilan.

“Sebarang persoalan berkaitan kedudukan institusi negeri hendaklah diselesaikan melalui saluran adat dan perundangan yang sah, telus serta menghormati struktur Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, UMNO Negeri Sembilan turut menegaskan bahawa rakyat tidak seharusnya terus dibebankan dengan pertikaian yang berpanjangan.

Kepentingan rakyat, kestabilan negeri dan keharmonian masyarakat, katanya, mesti kekal menjadi keutamaan dalam menangani sebarang perkembangan berkaitan isu berkenaan.

Sebagai parti yang menjunjung Institusi Raja-Raja Melayu, UMNO Negeri Sembilan berkata pihaknya akan terus mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan serta menghormati adat dan perlembagaan negeri.

Sehubungan itu, UMNO Negeri Sembilan akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi tujuan koordinasi isu-isu berkaitan adat secara harmoni selepas selesainya Perhimpunan Agung UMNO 2026.

“UMNO Negeri Sembilan menyeru seluruh rakyat supaya kekal tenang dan memberikan ruang kepada proses yang sewajarnya untuk berjalan,” menurut kenyataan tersebut. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO