Penerangan UMNO Selayang Cipta Kejayaan, Hasil Kekuatan Jentera – Hasnal Rezua
KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas Azmee Masrus yang dinobatkan sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Terbaik.
Beliau berkata, pengiktirafan tersebut bukan sahaja membanggakan Azmee, malah menjadi bukti kekuatan kerja berpasukan serta kesungguhan seluruh jentera penerangan UMNO Bahagian Selayang dalam memperkasakan agenda parti, khususnya menerusi platform media sosial.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh jentera penerangan sayap-sayap UMNO Bahagian Selayang serta kepimpinan UMNO Selayang serta kru-kru Base TV yang sentiasa bekerja keras, dan akhirnya membuahkan hasil dalam tempoh satu tahun selepas mengasaskan Base TV yang dilancarkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Hari ini Azmee Masrus dinobatkan sebagai Ketua Penerangan UMNO terbaik melalui inovasi media sosial dan seterusnya sudah pasti sepanjang perlibatan ini memainkan peranan yang cukup penting. Ini menunjukkkan bahawa beliau memahami tugasan yang diberikan serta saya akan terus membimbingnya.
“Sebagai satu pasukan, tugasan itu amat rumit tetapi beliau memahami skop yang diberikan, maka tugasan yang rumit menjadi mudah. Jalinan kerja yang mantap itu mendapat pengiktirafan daripada Penerangan UMNO Malaysia,” katanya kepada UMNO Online.
Seterusnya Hasnal berpesan agar mengekalkan prestasi bahawa kejayaan yang dicapai tidak seharusnya menjadi titik noktah, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin untuk memperkemas strategi dan menggandakan usaha.
“Sudah pasti prestasi ini kita akan kekalkan. Namun, setiap kemenangan datang bersama keperluan untuk kita meningkatkan lagi prestasi dan mengekalkan mutu yang telah membawa kepada kejayaan ini.
“Kita akan terus mencari rentak dan momentum untuk melipatgandakan segala usaha agar Selayang sentiasa terkehadapan dalam urusan penerangan,” katanya lagi.
Tambah beliau, kekuatan jentera penerangan amat penting bagi memastikan setiap agenda dan perjuangan UMNO dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat, khususnya menjelang pilihan raya akan datang.
“Matlamat akhirnya ialah untuk kita membawa kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Selayang pada pilihan raya yang akan datang, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online
