Tiada Penglibatan Kerajaan Negeri Johor Dalam Siasatan SPRM
JOHOR BAHRU, 8 Sept – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor terhadap seorang individu yang disyaki terlibat dalam kes meminta dan menerima rasuah serta salah guna kuasa berkaitan urusan permohonan lot tapak perumahan tidak melibatkan mana-mana pihak dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, beliau mengambil maklum mengenai tindakan SPRM Johor berhubung kes berkenaan.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai merit kes yang sedang dalam siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM serta proses undang-undang untuk menjalankan siasatan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, siasatan berkenaan tidak melibatkan mana-mana pihak dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Johor, sama ada dalam kalangan Exco atau mana-mana pegawai Kerajaan Negeri Johor.
“Sehubungan itu, saya berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau mengaitkan kes ini dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Jafni menegaskan pendiriannya untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan, menipu rakyat atau menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan keuntungan peribadi dalam apa juga urusan berkaitan perumahan rakyat.
“Saya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan, menipu rakyat atau menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan keuntungan peribadi dalam apa juga urusan berkaitan perumahan rakyat,” tegasnya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Johor sedang bertungkus-lumus memastikan lebih ramai Bangsa Johor mempunyai akses kepada rumah yang mampu dimiliki.
Katanya, amanah tersebut tidak seharusnya dicemari oleh segelintir pihak yang mengambil kesempatan atas harapan dan kesusahan rakyat untuk memiliki sebuah rumah.
Johor juga, katanya, terus komited untuk mencapai sasaran penyiapan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang penghujung tahun 2026.
“Setakat ini lebih 21,000 unit rumah telah siap serta diserahkan kepada bangsa Johor,” katanya.
Menurut beliau, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri bagi memastikan agenda pemilikan rumah Bangsa Johor terus dilaksanakan secara tersusun, telus dan berintegriti.
Beliau turut menyeru rakyat supaya sentiasa berurusan melalui saluran rasmi dan tidak membuat sebarang bayaran kepada individu atau mana-mana pihak yang meminta bayaran.
“Sekiranya terdapat sebarang permintaan sebarang bayaran laporan hendaklah segera dibuat kepada pihak berkuasa,” katanya.
“Saya dalam soal rumah rakyat, amanah mesti dijaga. Hak rakyat jangan sekali-kali diperdagangkan,” tegas beliau. – UMNO Online
