Jelajah Melaka Sayang Rakyat Dekati Masyarakat Sungai Udang
TANGGA BATU, 8 Sept – Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Sungai Udang yang berlangsung semalam memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk turun padang bertemu dan menyantuni masyarakat di beberapa lokasi sekitar kawasan berkenaan.
Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Rais Yasin berkata, program berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus mendekati rakyat serta memahami keperluan mereka secara langsung.
“Pendekatan turun padang seperti ini akan terus diperkasakan bagi memastikan suara dan keperluan rakyat sentiasa diberi perhatian.
“Inilah semangat sebenar Melaka Sayang Rakyat, turun padang, mendengar dan bersama rakyat.” katanya.
Jelajah yang disertai Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh itu bermula dengan sesi ramah mesra dan sarapan pagi bersama penduduk di Kampung Bertam Ulu.
Antara pengisian utama termasuk penyerahan rumah di bawah Program Melaka Rumahku, penyampaian surat kelulusan baik pulih dan bina baharu rumah serta majlis pecah tanah pembinaan SRA (JAIM) Sungai Udang.
Program turut melibatkan Ziarah Kasih bersama pesakit strok di Taman Peruna dan sesi sembang santai bersama veteran ATM di Taman Terendak Permai.
Pelbagai sumbangan turut disampaikan kepada mangsa banjir, sekolah, institusi pendidikan, penduduk terpilih dan veteran sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat.
Jelajah berkenaan diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutup Karnival Sungai Udang Kampung Kita serta Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid Kariah Seri Bertam.
Turut berlangsung penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau, 150 penerima terdiri daripada ibu tunggal, bapa tunggal dan asnaf, sumbangan MeSRa Pendidikan serta Kenduri Rakyat.- UMNO Online
