297 Lampu LED Solar Bakal Terangi Lebuhraya KL-Karak
KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Komitmen memperjuangkan isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat terus dizahirkan Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh apabila membangkitkan keperluan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) pada persidangan Dewan Negara, hari ini.
Beliau yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong secara khusus menggesa agar kementerian memberi keutamaan serta memperuntukkan bajet segera bagi pemasangan lampu jalan dari kawasan Terowong Genting Sempah sehingga ke Plaza Tol Karak bagi mengurangkan risiko kemalangan maut.
“Saya memohon agar Pihak Kementerian Kerja Raya memasukkan bajet bagi kos memasang lampu jalan dari Genting Sempah sehingga Plaza Tol Karak tahun ini. Kerana lampu jalan sangat perlu, bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya,” tegas Zaini semasa mengemukakan soalan tambahan di Dewan Negara.

Hasilnya, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan kawasan-kawasan gelap dan berisiko di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) kini bakal diterangi dengan pemasangan 297 unit lampu jalan LED berkuasa solar.
Ujarnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengesahkan bahawa pemasangan lampu jalan di sepanjang 26 kilometer bermula dari Terowong Genting Sempah hingga Persimpangan Mempaga sememangnya termasuk di dalam skop Projek Pelebaran Lebuhraya KL-Karak yang kini sedang berjalan.
Bahkan, sebagai langkah segera untuk keselamatan pengguna pada waktu malam, Kerajaan menerusi Belanjawan 2026 telah memperuntukkan RM30 juta bagi memasang lampu jalan LED berkuasa solar di lokasi-lokasi ‘blackspot’ dan berisiko tinggi. Bagi laluan Lebuhraya KL-Karak, sebanyak 297 unit lampu jalan LED berkuasa solar telah diluluskan dan kontraktor pelaksanaan telah pun dilantik untuk menyiapkan pemasangan menjelang penghujung tahun 2026.
Pecahan Perincian Pemasangan 297 Lampu LED Solar di KL-Karak:
Bentong Timur – Karak (KM67.5 – KM68.8 Arah Timur): 43 Tiang
Bentong Timur – Karak (KM74.0 – KM76.2 Arah Timur): 73 Tiang
Bentong Timur – Kg. Sg. Dua (KM70.9 – KM73.0 Arah Timur): 69 Tiang
Bentong Timur – Kg. Sg. Dua (KM64.8 – KM66.0 Arah Barat): 39 Tiang
Bentong Timur – Kg. Sg. Dua (KM68.7 – KM70.9 Arah Barat): 73 Tiang
JUMLAH KESELURUHAN: 297 Tiang Lampu LED Solar

Jelas Alexander Nanta lagi, selain lampu LED solar di lokasi kritikal, KKR turut memaklumkan bahawa projek pelebaran Lebuhraya KLK bermula dari Plaza Tol Gombak (KM19.2) hingga Persimpangan Mempaga (KM64.5) yang dijangka siap menjelang 2030 akan dilengkapi dengan Sistem Lampu Pintar (Smart Lighting System). Teknologi ini membolehkan kawalan dan pemantauan lampu jalan dilakukan secara berpusat dan masa nyata (real-time).
“Bagi mengoptimumkan keselamatan, teknologi canggih seperti Closed Circuit Television System (CCTV) dan Vehicle Incident Detection System (VIDS) turut diperkenalkan untuk mengesan sebarang insiden kemalangan dengan kadar serta-merta.
“Inisiatif penambahbaikan ini turut diperkukuhkan dengan tindakan mitigasi di 13 lokasi ‘blackspot’ bagi tahun 2026 di KL-Karak dan LPT1, termasuk pemasangan Geveko Cold Plastic Rumble Strip dan turapan semula jalan jenis Stone Mastic Asphalt (SMA). Langkah penambahbaikan yang telah siap terbukti berjaya mencatatkan penurunan kadar kemalangan sehingga 100% pengurangan di beberapa lokasi fokus,” katanya lagi. – UMNO Online
