PRN NS: Kemenangan BN-PN Amanah Besar Rakyat – Ahmad Zahid

SEREMBAN, 1 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa berdasarkan keputusan terkini BN telah memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata keputusan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini sekali gus memberikan kerajaan majoriti dua pertiga kepada gabungan persefahaman tersebut.

“Rakyat Negeri Sembilan telah memberikan kepercayaan kepada BN dan PN untuk menerajui semula pentadbiran negeri.

“Justeru, persefahaman yang terjalin antara kedua-dua gabungan dalam PRN ini akan diterjemahkan melalui pembentukan sebuah kerajaan negeri yang stabil dan berlandaskan mandat rakyat.

“Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat ini, BN telah memperoleh 18 kerusi manakala PN memenangi tujuh kerusi. Keputusan itu sekali gus memberikan majoriti dua pertiga kepada BN dan PN.

“Susulan itu, kedua-dua gabungan akan mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan pembentukan kerajaan negeri baharu,“ katanya ketika sidang media di Command Centre BN, di Wisma UMNO Negeri di sini, malam ini.

Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa mandat yang diberikan rakyat diterima dengan penuh rasa rendah diri, tawaduk sambil menyifatkan kemenangan itu bukan alasan untuk bermegah atau bersikap angkuh.

Ahmad Zahid turut menyifatkan keputusan PRN Negeri Sembilan sebagai kesinambungan “gelombang biru” yang bermula di Johor dan berharap momentum tersebut akan terus berkembang ke negeri-negeri lain.

“Mandat yang diberikan ini juga menjadi pemangkin untuk meneruskan gelombang biru yang bermula di Johor dan diharapkan akan terus berkembang ke negeri-negeri lain, termasuk Melaka.

“Kami percaya inilah makna sebenar perpaduan yang diharapkan oleh rakyat Negeri Sembilan dan seluruh rakyat Malaysia.

“Namun begitu, kejayaan ini tidak boleh menjadikan kami leka atau angkuh. Gelombang ini hanya akan terus berkembang sekiranya keyakinan rakyat dibalas dengan prestasi, hasil kerja dan perubahan yang benar-benar dapat dirasai oleh semua,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO