Pengorbanan Jentera Jadi Tonggak Kelancaran Hari Mengundi
SEREMBAN, 1 Ogos – Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis Haslinda Salleh menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera pilihan raya yang telah bertungkus-lumus melaksanakan amanah sepanjang hari mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah.
Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang itu, pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi oleh para petugas termasuk cuaca panas terik, hujan, keletihan serta kesibukan, namun semua itu tidak pernah menjadi alasan untuk berhenti berkhidmat demi memastikan proses demokrasi berjalan dengan lancar.

“Di sebalik setiap undi yang dizahirkan, ada petugas yang sejak awal pagi bertungkus-lumus memastikan segala urusan berjalan lancar.
“Masing-masing memikul amanah dengan penuh dedikasi, mengutamakan tanggungjawab demi memastikan proses demokrasi berlangsung dengan baik,” kata Exco Wanita UMNO Malaysia itu lagi dalam satu catatan di Facebook.
Seterusnya, Haslinda turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera bermula dari peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang telah mencurahkan tenaga, masa dan pengorbanan tanpa mengenal erti penat sepanjang tempoh kempen sehingga hari pengundian.
“Terima kasih kepada seluruh jentera yang tidak pernah mengenal erti penat. Semoga setiap usaha, pengorbanan dan keikhlasan kalian menjadi amal yang diberkati.
“Apa jua keputusan, kita telah memberikan yang terbaik. Itulah semangat perjuangan yang sebenar. Terima kasih Jentera di DUN Pilah, terutamanya PDM Seri Pilah, PDM Batang Pilah dan PDM Kampung Gachong.
“Kebaikan dan keprihatinan semua akan sayang kenang hingga akhir hayat,” katanya. – UMNO ONLINE
