Mesyuarat UMNO Kota Melaka Medan Perkukuh Kesiapsiagaan Hadapi PRN

KOTA MELAKA, 26 Julai – Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka menjadi platform penting dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kesemua Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO di Melaka yang dirasmikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, membuktikan kesungguhan kepimpinan negeri dalam menyatukan saf perjuangan dan memperkukuhkan kekuatan parti di semua peringkat.

Menurut beliau, amanat yang disampaikan oleh Ab Rauf bukan sekadar membakar semangat perjuangan dalam kalangan perwakilan, malah menjadi panduan kepada seluruh ahli untuk menyahut setiap seruan, memperbaiki kelemahan serta melaksanakan tanggungjawab demi memastikan UMNO terus kukuh dan diyakini rakyat.

Dalam ucapannya pada Persidangan Tahunan UMNO Bahagian Kota Melaka yang berlangsung di Dewan KEMAS Telok Mas, Abdul Razak menegaskan bahawa UMNO Kota Melaka kini berada dalam keadaan hampir siap sepenuhnya bagi menghadapi PRN.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dan Telok Mas akan terus dipertahankan melalui gerak kerja tersusun, semangat muafakat serta komitmen jentera yang sentiasa bersedia mendekati rakyat.

“Di atas robohan Kota Melaka, lahirnya perjuangan UMNO yang membara. Semangat bersatu, setia dan berkhidmat perlu terus menjadi pegangan seluruh warga parti dalam memastikan UMNO kekal menjadi wadah perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Mesyuarat berkenaan turut menjadi medan memperkukuhkan kesatuan serta menyuntik semangat perjuangan dalam kalangan perwakilan agar terus bergerak seiring dengan aspirasi kepimpinan parti bagi menghadapi cabaran politik yang bakal mendatang.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO