PRN Johor: 1,076 Pusat Mengundi Ditutup, Penjumlahan Bermula

JOHOR BAHRU, 11 Julai – Proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 berakhir secara rasmi selepas kesemua 1,076 pusat mengundi di seluruh negeri ditutup tepat 6 petang ini.

Sejak dibuka seawal 8 pagi tadi, proses penutupan pusat mengundi dilakukan secara berperingkat, dengan Balai Raya Pulau Besar di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh menjadi lokasi terawal ditutup, iaitu pada 11 pagi tadi.

Setakat 5 petang ini, sebanyak 67.44 peratus atau lebih 1.8 juta orang daripada keseluruhan 2.6 juta pemilih biasa telah menunaikan tanggungjawab mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi PRN kali ini mampu mencecah hingga 70 peratus, dengan keputusan penuh dijangka diperoleh seawal 10 malam ini.

Kini, tumpuan seluruh negara pastinya terarah kepada keputusan siapakah 56 daripada 172 calon bertanding yang berjaya mendapat mandat rakyat.

Dalam pada itu, bagi memastikan ketelusan proses demokrasi, pembukaan sampul undi pos telah bermula dan disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook rasmi SPR.

Kesemua peti undi dari 4,889 saluran kini akan dibawa ke pusat penjumlahan undi sebelum keputusan rasmi diumumkan. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO