Nilai Rekod BN, Teruskan Agenda Maju Johor – Israk

TANJUNG PIAI, 10 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) DUN Kukup, Haji Israk Abdullah sekali lagi mengingatkan masyarakat, khususnya pengundi di kawasan itu, agar menilai secara menyeluruh tawaran yang dibawa BN kepada rakyat Johor sebagai kesinambungan agenda pembangunan negeri yang telah dilaksanakan dan terbukti memberi manfaat di bawah kepimpinan kerajaan BN sebelum ini.

Beliau berkata, segala komitmen yang digariskan dalam manifesto bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya dibina berasaskan rekod pencapaian dan kemampuan kerajaan negeri melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

Justeru, beliau mengajak seluruh pengundi DUN Kukup agar meneliti tawaran tersebut sedalam-dalamnya sebelum membuat pilihan pada hari pengundian Sabtu ini dengan memberikan mandat kepada BN.

Menurut Israk, pelbagai inisiatif yang diumumkan bukan sekadar menawarkan perkara baharu, sebaliknya memperkukuhkan dasar sedia ada melibatkan pendidikan, pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat serta kesejahteraan Bangsa Johor.

Katanya, pendekatan itu membuktikan komitmen BN untuk meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang, di samping menambah baik pelbagai inisiatif agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.

Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera parti yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen dan berharap momentum tersebut diteruskan sehingga tamat proses pengundian.

“Saya berharap rakyat membuat pilihan berdasarkan rekod dan prestasi yang telah dibuktikan. Berilah peluang kepada BN untuk meneruskan kesinambungan pembangunan, mengekalkan kestabilan politik dan memastikan lebih banyak manfaat dapat dinikmati oleh Bangsa Johor,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO