Aktiviti Lombong Kripto, Bitcoin: Tiada Pihak Kepentingan Didapati Bersubahat

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Hasil siasatan yang dijalankan setakat ini menunjukkan bahawa tiada anggota polis, pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pekerja Majlis Perbandaran Manjung bersubahat dalam aktiviti melombong mata wang kripto dan bitcoin di kawasan tersebut.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan sebanyak 347 serbuan telah diadakan dengan tangkapan seramai 93 orang dan rampasan 6913 buah mesin dari tahun 2022 sehinggan Jun 2025.

“Merujuk kepada aktiviti melombong mata wang kripto dan bitcoin di Daerah Manjung, Perak dari tahun 2022 sehingga Jun 2025, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama TNB telah menjalankan 347 serbuan dengan tangkapan seramai 93 orang dan rampasan 6913 buah mesin.

“Pihak PDRM membuat siasatan mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990. Manakala pihak TNB turut mengambil tindakan akibat kehilangan hasil akibat kecurian bekalan elektrik.

“Berhubung dakwaan terdapat anggota polis, pekerja TNB dan pekerja Majlis Perbandaran Manjung yang bersubahat, hasil siasatan yang dijalankan setakat ini tiada pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab menteri di Parlimen, sebentar tadi.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, mata wang kripto di Malaysia adalah sah untuk dimiliki dan didagangkan, namun tidak diiktiraf sebagai mata wang yang sah.

“Sebaliknya, ia diklasifikasikan sebagai aset digital dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di bawah Capital Markets and Services (Prescription of Securities) (Digital Currency and Digital Token) Order 2019 serta garis panduan berkaitan aset digital yang dikeluarkan oleh SC.

“Bank Negara Malaysia (BNM) pula memantau aspek kestabilan kewangan, sistem pembayaran serta pematuhan terhadap keperluan Anti-Money Laundering, Countering Financing of Terrorism and Targeted Financial Sanctions (AML/CFT/PF/TFS) mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa PDRM akan menjalankan siasatan terhadap kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan [Akta 574] berkaitan khianat dan mana-mana peruntukan lain yang berkaitan berdasarkan fakta kes mengenai mata wang kripto ini.

“Kesalahan jenayah yang dimaksudkan adalah aktiviti perlombongan mata kripto itu dijalankan secara haram. Haram yang dimaksudkan adalah kerana penyambungan bekalan elektrik secara tidak sah, pengubahsuaian meter atau pencerobohan sistem bekalan elektrik sehingga mengakibatkan kerugian kepada pemegang lesen bekalan elektrik, serta penggunaan lokasi perlombongan yang tidak mendapat lesen. Ini adalah kerana kos perlombongan mata yang kripto terlalu tinggi dan menyebabkan kerugian kepada pihak berkepentingan.

“Dalam keadaan sedemikian, PDRM akan menjalankan siasatan terhadap kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan [Akta 574] berkaitan khianat dan mana-mana peruntukan lain yang berkaitan berdasarkan fakta kes.

“Bagi kesalahan yang melibatkan kecurian bekalan elektrik, tindakan diambil di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] oleh agensi yang mempunyai bidang kuasa, dengan kerjasama erat PDRM,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO