Pilih BN Demi Kestabilan Dan Masa Depan Johor – Norlizah
JOHOR LAMA, 6 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Norlizah Noh berkata, kempen yang kini memasuki fasa kedua menyaksikan semangat jentera BN semakin meningkat, selain menerima sokongan yang amat memberangsangkan daripada pengundi di setiap lokasi yang dikunjungi.
Menurutnya, sambutan yang diterima sepanjang tempoh berkempen memberikan keyakinan kepada BN untuk terus bekerja keras bagi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat diteruskan.

“Alhamdulillah… kini memasuki fasa kedua kempen dengan semangat yang lebih tinggi. Di mana-mana sahaja pergi berkempen ramai yang memberikan sokongan dan kata-kata semangat. Insya-Allah, peluang kedua yang diberikan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
“Saya yakin rakyat bijak menilai siapa yang sentiasa bekerja dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Kekalkanlah BN di negeri Johor kerana rekod pentadbirannya sepanjang empat tahun lalu membuktikan keupayaan kerajaan membawa pembangunan, kestabilan dan kesejahteraan kepada rakyat.
“Marilah kita bersama-sama memberikan mandat sekali lagi kepada BN demi masa depan Bangsa Johor yang kita sayangi dan cintai,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah turut menyeru seluruh pengundi di DUN Johor Lama agar tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab pada 11 Julai dengan memberikan sekali lagi mandat kepada BN demi meneruskan usaha penambahbaikan dan pembangunan di kawasan ini.
Mengulas lanjut kata Norlizah lagi, sepanjang tempoh pentadbiran BN, terlalu banyak bantuan telah disalurkan kepada rakyat merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.

“Segala bantuan itu dapat dilaksanakan hasil kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi yang dinikmati negeri Johor, sekali gus membolehkan kerajaan mengembalikan hasil pembangunan kepada rakyat dalam bentuk pelbagai bantuan dan program kebajikan.
“Kestabilan yang dikecapi negeri bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi, malah membolehkan lebih banyak hasil negeri disalurkan semula demi meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Tambah Norliza lagi, kepercayaan yang diberikan rakyat akan diterjemahkan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif terbaik yang memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor.
“Insya-Allah, sekiranya rakyat terus memberikan mandat kepada Barisan Nasional untuk mentadbir Johor, kami akan memastikan yang terbaik terus dilaksanakan demi kebajikan rakyat dan kemajuan Bangsa Johor,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 10 Julai (Jumaat). – UMNO Online
