Jangan Terperangkap Strategi Mengelirukan Pengundi – Onn Hafiz
MACHAP, 5 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan kempen BN ketika ini berdepan pelbagai cabaran termasuk strategi politik pihak tertentu yang cuba mengelirukan pengundi dengan pelbagai dakwaan serta tawaran baharu menjelang hari pengundian.
Beliau berkata, dalam tempoh kempen yang singkat, terdapat usaha mewujudkan persepsi melalui janji-janji baharu yang disifatkan tidak selari dengan realiti serta boleh mengelirukan pengundi.
“Walaupun kita sudah banyak buat kerja, dalam tempoh dua minggu kempen ini tiba-tiba muncul janji bulan dan bintang, ada macam-macam hasutan dan strategi yang mengelirukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika beramah mesra bersama pengundi dan jentera setempat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Machap malam tadi.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan terdapat cubaan mengelirukan pengundi di DUN Machap setelah nama beliau dan pihak lawan mempunyai nama hampir sama.
“Saya Onn Hafiz … lawan saya nama hampir sama cumanya beliau Nor Hafiz … ingat semua pada hari pengundian nanti saya calon nombor dua … jangan keliru dengan strategi yang dimainkan oleh pihak tertentu.
“Kita juga ingin bertanya apakah beliau (pihak lawan) pernah ke turun bersama masyarakat di sini? Kita sudah lama buat kerja, bantu rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk Bantuan Kasih Johor,” katanya.
Turut bersama Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Zakaria Dullah serta pimpinan setempat lain.
Menurutnya, sepanjang tempoh pentadbiran dan khidmat BN di Johor, pelbagai inisiatif kebajikan dan bantuan rakyat telah dilaksanakan secara berterusan merangkumi pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi di Machap agar lebih berhati-hati dalam menilai setiap tawaran yang dikemukakan sepanjang tempoh kempen dan tidak mudah terpengaruh dengan strategi politik yang boleh mengelirukan.
Onn Hafiz turut mengajak pengundi untuk terus memberikan sokongan kepada BN demi memastikan kesinambungan agenda pembangunan dan kesejahteraan Bangsa Johor dapat diteruskan secara berterusan.
Pada PRN Johor 2022, Datuk Onn Hafiz memenangi DUN Machap dengan majoriti 6,543 undi. Beliau menewaskan Azlisham Azahar (PN-Pas), R Sangaran (MUDA) dan Sharuddin Md Salleh (Pejuang).Pada PRN Johor kali ini, Onn Hafiz Ghazi (BN-UMNO) akan ditentang Nor Hafiz Roslan (PH-Amanah).- UMNO Online
