Ahmad Zahid Seru Jentera Terus Bersatu Hati, Pastikan BN Johor Menang Besar

JOHOR BAHRU, 5 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN), menyeru seluruh jentera parti komponen BN agar terus bersatu hati dan memperkukuh gerak kerja bagi memastikan kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO berkata, mandat yang kukuh kepada BN perlu diberikan semula bagi memastikan kestabilan politik yang dinikmati Johor ketika ini dapat diteruskan demi kemajuan rakyat dan negeri.

“Kita perlu memberikan mandat semula kepada kerajaan BN supaya kestabilan politik yang ada hari ini dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Ramah Mesra Masyarakat India yang turut dihadiri calon BN DUN Perling, Pannir Selvam dan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed serta kepimpinan MIC dan komponen BN serta masyarakat setempat, malam tadi.

Ujar Ahmad Zahid, sokongan padu daripada lebih 109,000 pengundi di DUN Perling amat penting bagi membolehkan BN mencipta kemenangan yang sekali gus memperkukuhkan kestabilan politik negeri.

“Kita mahu mencipta sejarah untuk menentukan kemenangan kita di Perling. Saya minta seluruh parti-parti komponen bersatu hati dan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan BN.”

Beliau menegaskan kepimpinan Menteri Besar Johor tidak pernah mengetepikan mana-mana kaum, sebaliknya sentiasa memastikan pembangunan dan kebajikan dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Dalam masa sama, beliau berkata kestabilan politik menjadi faktor utama yang menarik keyakinan pelabur untuk terus memilih Johor sebagai destinasi pelaburan utama negara.

“Kekuatan politik dan kestabilan politiklah yang membawa pelabur masuk ke Johor. Kita mahu Johor terus maju dan kekal berada di barisan hadapan dari segi pelaburan,” katanya.

Ahmad Zahid turut menjelaskan kerajaan BN di Johor telah dibentuk lebih awal sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, sekali gus menolak dakwaan kononnya BN mengkhianati mandat rakyat.

Mengulas mengenai manifesto BN Johor, beliau berkata tawaran yang dikemukakan merangkumi pelbagai aspek pembangunan termasuk usaha memperkasa masyarakat India melalui pelbagai inisiatif pendidikan dan latihan kemahiran.

Menurutnya, peluang mengikuti kursus-kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus diperkasakan bagi memberi ruang kepada golongan belia, termasuk masyarakat India, memperoleh kemahiran, kelulusan serta peluang pekerjaan dengan pendapatan yang lebih baik.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pelbagai inisiatif baharu atau ‘game changer’ yang dirancang akan mampu membantu BN meningkatkan jumlah kemenangan dalam PRN malah melepasi 40 kerusi DUN yang dimenangi sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera UMNO dan parti-parti komponen BN di semua peringkat supaya terus menggandakan usaha sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan BN meraih kemenangan lebih besar di DUN Perling,
sekali gus memperkukuhkan mandat rakyat demi meneruskan agenda pembangunan Johor. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO