Tuduhan UMNO Bongkak Hanya Tafsiran Politik – Ruzaini Rais

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Tuduhan bahawa UMNO bersikap bongkak, sombong atau berlagak susulan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung sokongan Pas kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai tafsiran politik semata-mata.

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais berkata, kenyataan Dr. Asyraf telah diputarbelit oleh pihak tertentu bagi mewujudkan persepsi negatif terhadap UMNO dan BN.

Menurut beliau, kenyataan tersebut jelas merujuk kepada konteks PRN Johor dan tidak mempunyai kaitan dengan kedudukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Tuduhan bahawa UMNO bersikap bongkak, sombong atau berlagak hanyalah tafsiran politik pihak tertentu. Hakikatnya, BN hanya menyatakan pendirian secara terbuka dan konsisten mengenai strategi pilihan rayanya di Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, BN Johor sejak awal lagi telah mengumumkan pendirian untuk bertanding secara solo dan tidak pernah menjanjikan bahawa semua pilihan raya negeri perlu menggunakan formula kerjasama seperti di Putrajaya.

Ruzaini turut menegaskan bahawa dalam sistem demokrasi, setiap parti mempunyai hak menentukan strategi politik masing-masing serta menerima sokongan daripada mana-mana pihak yang mahu membantu kemenangan calon mereka.

“Jika ada pihak yang secara terbuka menyeru penyokong mereka mengundi calon BN, tidak ada alasan untuk BN menolak sokongan tersebut. Tiada parti yang akan menolak sokongan pengundi yang ingin membantu kemenangan calonnya,” katanya.

Tambah beliau, persaingan dalam pilihan raya adalah lumrah dalam sistem demokrasi, manakala setiap parti berhak menentukan haluan dan strategi masing-masing selagi menghormati mandat rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO