Bertembung Di Pasar Malam, Ramlee Tetap Fokus Pertahan Kempas

PULAI, 2 Julai – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas menyaksikan suasana meriah apabila calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ramlee Bohani, bertembung dengan dua pencabarnya ketika berkempen di Pasar Malam Taman Dahlia, malam semalam.

Turut hadir menyantuni pengundi ialah calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Faezuddin Mohd Puad, serta calon Parti Bersama, Salamahafifi Mohd Yusnaieny, yang masing-masing menjalankan kempen di lokasi sama.

Pertemuan ketiga-tiga calon berlangsung dalam suasana terkawal apabila mereka mengambil peluang beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga bagi menyampaikan manifesto serta mendengar pandangan rakyat menjelang hari pengundian.

Mengulas persaingan pilihan raya kali ini, Ramlee berkata suasana kempen berlangsung dalam semangat demokrasi yang sihat dengan semua calon diberikan ruang untuk bertemu pengundi.

Pada masa sama, beliau percaya rekod perkhidmatan yang ditampilkan sepanjang empat tahun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas menjadi kekuatan utama untuk terus meraih sokongan rakyat.

“Sepanjang satu penggal ini banyak usaha telah dilaksanakan melibatkan pendidikan, ekonomi, kebajikan, agama dan pembangunan masyarakat.

“Bagi saya, yang paling penting bukan soal usia, tetapi komitmen seseorang wakil rakyat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di kawasan yang diwakilinya,” jelas beliau.

Bagi PRN Johor kali ini, Ramlee berdepan pertandingan tiga penjuru untuk mempertahankan kerusi DUN Kempas yang dimenanginya pada pilihan raya lalu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO