Kempen Berhemah BN Tonjol Komitmen, Bukan Serangan Peribadi – Wan Rosdy

KUANTAN, 28 Jun – Barisan Nasional (BN) akan terus mengekalkan pendekatan kempen yang berhemah pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN Johor yang bermula semalam dengan memberi tumpuan kepada tawaran dan komitmen kepada rakyat, bukannya menyerang peribadi pihak lawan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, berkata budaya politik yang diamalkan UMNO sejak dahulu ialah memisahkan persaingan politik daripada serangan bersifat peribadi atau fitnah.

Menurut beliau, kempen BN lebih menekankan gerak kerja parti, perancangan masa depan serta harapan yang ingin dibawa kepada golongan muda dan seluruh pengundi.

“Dari dahulu dalam UMNO, kita tidak menyerang peribadi. Kita lebih menceritakan mengenai parti, gerak kerja, masa depan dan harapan kepada anak muda serta seluruh pengundi. Itulah pendekatan yang kita akan teruskan,” katanya.

Wan Rosdy berkata pihak yang gemar memainkan isu peribadi dan menyebarkan fitnah sebenarnya ketandusan idea serta gagal menawarkan agenda yang meyakinkan rakyat.

“Kalau sudah tiada modal, mereka memilih untuk memfitnah dan meracuni pemikiran rakyat. Ada kalanya isu yang dibangkitkan tidak tepat, malah ada yang sebenarnya langsung tidak wujud,” katanya.

Beliau berkata BN sebaliknya memilih untuk membuktikan komitmen melalui dasar dan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuk usaha memperkukuh pelbagai bantuan kebajikan.

“Ini yang perlu kita sampaikan kepada rakyat. Berikan mereka harapan melalui perancangan dan komitmen yang jelas, bukan dengan memainkan sentimen atau menyerang peribadi pihak lain,” ujarnya.

Beliau berharap pengundi dapat menilai sendiri perbezaan pendekatan kempen BN yang berteraskan fakta, rekod pencapaian dan kebajikan rakyat berbanding kempen pihak lawan yang lebih banyak tertumpu kepada isu-isu negatif.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO