Suasana Meriah Iringi Penamaan Calon BN DUN Tiram

TEBRAU, 27 Jun – Suasana penuh semangat dan meriah mewarnai pusat penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram apabila ratusan penyokong serta jentera Barisan Nasional (BN) berhimpun seawal pagi bagi mengiringi calon BN, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Beliau tiba di pusat penamaan calon di Dewan Pelangi Indah dengan diiringi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bersama barisan kepimpinan parti termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan.

Perarakan menuju ke pusat penamaan calon berlangsung dalam suasana penuh tertib dan bersemangat dengan kibaran bendera BN, alunan Selawat Tafrijiyah serta laungan kata-kata semangat daripada penyokong yang memenuhi laluan masuk.

Penyokong daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa turut hadir mengenakan pakaian dan aksesori berwarna biru sebagai tanda solidariti serta sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon BN.

Kehadiran mereka bukan sahaja memeriahkan suasana, malah menjadi simbol kekuatan dan kebersamaan keluarga besar BN dalam mengharungi saingan PRN Johor, sekali gus menandakan bermulanya secara rasmi pertandingan bagi DUN Tiram.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, BN berjaya merampas semula kerusi DUN Tiram selepas memperoleh 22,939 undi dan menewaskan tiga pencabarnya dengan majoriti 5,281 undi dalam pertandingan empat penjuru yang turut melibatkan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

SPR menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon, sekali gus menyaksikan bermulanya tempoh berkempen selama 14 hari. Pengundian awal dijadualkan pada 7 Julai 2026, manakala rakyat Johor akan keluar mengundi pada 11 Julai 2026 bagi memilih wakil rakyat di 56 kawasan DUN. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO