PN Sekadar Bertanding, Bukan Bersedia Memerintah Johor – Noor Azleen
JOHOR BAHRU, 26 Jun – Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyifatkan tindakan Perikatan Nasional (PN) hanya bertanding di 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 sebagai bukti gabungan itu tidak mempunyai hasrat sebenar untuk membentuk Kerajaan Negeri Johor.
Menurut beliau, keputusan tersebut merupakan isyarat politik yang jelas bahawa PN sejak awal tidak meletakkan sasaran realistik untuk mentadbir Johor, malah strategi yang dipilih menunjukkan mereka sekadar hadir sebagai pencabar tanpa menawarkan alternatif kerajaan yang meyakinkan.

Beliau turut mempersoalkan kesepaduan dalam gabungan PN apabila parti-parti komponennya iaitu Pas, Bersatu, MIPP dan Pejuang memilih untuk mengumumkan calon masing-masing secara berasingan di lokasi berbeza, walaupun menggunakan logo dan bendera PN.
“Walaupun mereka bersetuju menggunakan logo dan bendera PN, pengumuman yang dibuat secara berasingan memberi gambaran bahawa kesepakatan dalam gabungan tersebut tidaklah sekuat yang cuba dipersembahkan. Ibarat tidur sebantal, tetapi mimpi berbeza-beza,” katanya.
Noor Azleen berkata, untuk membentuk kerajaan negeri, sesebuah gabungan perlu mempunyai laluan yang realistik bagi memperoleh majoriti kerusi, namun tindakan PN yang hanya bertanding kurang daripada 60 peratus kerusi DUN secara tidak langsung mengehadkan peluang mereka sendiri untuk membentuk kerajaan.
Katanya lagi, dalam mana-mana pilihan raya tiada jaminan semua kerusi yang ditandingi akan dimenangi kerana kemenangan dan kekalahan merupakan lumrah politik.
“Apabila sebuah gabungan hanya bertanding di 33 kerusi, mereka sebenarnya sedang mengehadkan sendiri peluang mereka untuk membentuk kerajaan. Jika mereka sendiri tidak meletakkan sasaran untuk membentuk kerajaan, untuk apa kita berbicara tentang pelan, visi, misi dan wawasan mereka untuk masa depan Johor?” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru Bangsa Johor agar membuat pilihan yang bijak pada PRN kali ini dengan memberikan mandat kepada gabungan yang benar-benar bersedia memimpin dan mentadbir negeri.
Tegas beliau, Johor memerlukan sebuah kerajaan yang mempunyai hasrat untuk memimpin, keberanian menawarkan hala tuju yang jelas serta keyakinan untuk memikul tanggungjawab demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negeri terus terpelihara. – UMNO Online
