Mohd Azmawi Santuni Masyarakat Orang Asli Pos Gob, Sampaikan Bantuan Kepada Mangsa Kebakaran

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani telah menyantuni masyarakat Orang Asli Pos Gob pada Selasa.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Mohd Azmawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan berkata, beliau akan memanjangkan kes kebakaran yang berlaku di Kampung Pincong kepada pihak berwajib agar bantuan sewajarnya dapat disampaikan kepada mangsa.

“Selasa lalu saya menyantuni masyarakat Orang Asli di Pos Gob yang keluar untuk urusan membuat laporan polis.

“Ahad lalu, dua buah rumah di Kampung Pincong telah hangus dijilat api, mengakibatkan keluarga yang terlibat kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

“Insya-Allah, saya akan memanjangkan perkara ini kepada pihak berwajib agar bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan kepada mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azmawi turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa terlibat dan mendoakan agar mereka terus tabah menghadapi ujian tersebut.

“Dalam kesempatan ini, saya turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada kedua-dua buah keluarga yang terlibat untuk meringankan beban mereka.

“Sama-sama kita doakan agar mereka terus tabah menghadapi ujian ini dan dipermudahkan segala urusan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO