Ibnu Rasyeed Santuni Anak Istimewa, Sampaikan Sumbangan Kepada Warga PPDK

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang, Ibnu Rasyeed Mat Isa meluangkan masa menyantuni warga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bistari Sungai Tinggi sempena Mesyuarat Agung PPDK Bistari Sungai Tinggi Kali Ke-7.

Beliaan pada kunjungan tersebut meluangkan masa mendengar pandangan serta keperluan yang dibangkitkan oleh pihak pengurusan dan ibu bapa peserta PPDK.

“Biasanya kalau pergi mesyuarat orang ingat dengar ucapan, minum kopi lepas itu balik. Tapi saya duduk sampai habis sebab hendak dengar sendiri apa yang mereka sampaikan.

“Antara yang banyak dibangkitkan tadi pasal tempat PPDK ni. Buat masa sekarang mereka masih menumpang di Masjid Sungai Tinggi.

“Alhamdulillah pihak masjid banyak membantu, tapi tempat sekarang agak kecil sikit sekarang ni ada 22 orang peserta dan setiap tahun makin ramai yang daftar. Bila anak-anak makin ramai, ruang nak buat aktiviti, belajar dan latihan pun jadi terhad,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ibnu Rasyeed berkata, cadangan supaya bangunan Klinik Desa Padang Gajah yang tidak lagi digunakan dijadikan lokasi baharu PPDK wajar diberi pertimbangan kerana ia mampu menyediakan ruang yang lebih selesa kepada anak-anak istimewa untuk menjalani aktiviti pembelajaran dan latihan.

Dalam pada itu, beliau turut sama mengumumkan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada PPDK Bistari Sungai Tinggi sebagai tanda sokongan terhadap usaha pusat berkenaan dalam memberikan perkhidmatan kepada anak-anak istimewa.

“Sebab tu Tuan Hj Rashid cadang supaya bangunan Klinik Desa Padang Gajah yang sudah lama tak guna tu dapat dipertimbangkan untuk PPDK. Daripada tinggal kosong naik lalang, elok juga kalau dapat dimanfaatkan untuk anak-anak istimewa kita.

“Insya-Allah saya sudah bincang dengan Pegawai Kebajikan masyarakat Daerah Larut Matang dan Selama, Mohd Fadhuli Wahab untuk panjangkan perkara ni kepada pihak yang berkenaan. Mana yang boleh kita usaha, kita usaha sama-sama.

“Saya juga bersetuju untuk sumbangkan RM2,000 untuk membantu urusan pentadbiran dan kebajikan PPDK. Tidak banyak mana, tapi mudah-mudahan boleh ringankan sedikit urusan mereka,” ujar beliau.

Sementara itu beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penyelia, ibu bapa serta semua pihak yang komited menguruskan PPDK tersebut.

“Bila duduk dengan anak-anak istimewa ni, saya rasa tenang. Mereka ini tidak pandai berpura-pura, tidak pandai simpan dalam hati. Terima kasih Paksu Nurin, penyelia, ibu bapa dan semua yang terlibat sebab sudi jemput saya.

“Insya-Allah kalau ada ruang dan kesempatan, saya akan datang lagi. Anak-anak istimewa ni bukan beban sesiapa, mereka amanah Allah untuk kita jaga sama-sama,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO