PSPN, RTKP Garis Hala Tuju Pertahanan Dalam Tempoh Lima Tahun Akan Datang

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030 menggariskan hala tuju pertahanan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kedua-dua dokumen tersebut adalah untuk mendepani ketidaktentuan geopolitik, perkembangan teknologi disruptif dan ancaman keselamatan yang semakin kompleks.

“Menyempurnakan PSPN 2026-2030 dan RTKP 2026-2030 di Kuala Lumpur. Pelancaran kedua-dua dokumen ini menggariskan hala tuju pertahanan negara bagi tempoh lima tahun akan datang dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik, perkembangan teknologi disruptif dan ancaman keselamatan yang semakin kompleks.

“PSPN 2026-2030 akan terus menyokong Kertas Putih Pertahanan berlandaskan tujuh teras strategik bagi memperkukuh kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kapasiti pertahanan, kesejahteraan warga pertahanan dan veteran serta pembangunan industri dan hubungan pertahanan negara.

”RTKP pula memastikan negara mempunyai kapasiti dan sumber yang diperlukan untuk mencapai matlamat tersebut,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, penjenamaan semula Pelan Strategik Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) melambangkan bahawa pertahanan
merupakan agenda nasional.

“Buat pertama kalinya, Pelan Strategik MINDEF dijenamakan semula sebagai Pelan Strategik Pertahanan Negara, melambangkan bahawa pertahanan bukan lagi agenda Kementerian semata-mata, sebaliknya merupakan agenda nasional yang melibatkan seluruh negara dan seluruh rakyat.

“Pendekatan WOGOS (Whole of Government and Whole of Society) akan terus dibudayakan, di samping memperkasakan HANRUH (Pertahanan Menyeluruh) melalui CIMIC (Civil-Military Cooperation) serta Program Literasi Pertahanan.

“Malaysia juga akan terus memperkukuh diplomasi pertahanan berasaskan prinsip berkecuali dan tidak berpihak, dengan keyakinan bahawa keamanan perlu dibina melalui dialog, keyakinan bersama dan kerjasama serantau,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan Kementerian Pertahanan akan mempercepat permodenan ATM di samping memastikan kesejahteraan anggota dan veteran terus menjadi keutamaan.

“Kementerian akan terus mempercepatkan pemodenan ATM serta membangunkan keupayaan pertahanan masa hadapan melibatkan kecerdasan buatan (AI), pertahanan siber, peperangan elektronik dan keupayaan satelit pertahanan negara, di samping memastikan kesejahteraan anggota serta veteran ATM terus menjadi keutamaan.

“PSPN dan RTKP bukan sekadar dokumen dasar, tetapi merupakan komitmen negara untuk memastikan Malaysia memiliki sebuah angkatan yang moden, responsif, adaptif dan sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan serta kepentingan nasional,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO