Setiap Kelewatan Ada Kos, Salleh Pantau Rapi Kemajuan Pan Borneo
KOTA KINABALU, 23 Jun – Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah perlu terus dipacu mengikut jadual yang ditetapkan kerana sebarang kelewatan bukan sahaja memberi kesan kepada kos projek, malah menangguhkan manfaat pembangunan kepada rakyat.
Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata demikian selepas mengadakan lawatan pemantauan ke beberapa lokasi projek bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor dan agensi berkaitan hari ini.
Beliau berkata, perkembangan semasa projek menunjukkan petanda positif apabila beberapa pakej utama kini menghampiri sasaran yang telah ditetapkan bagi tahun 2026.
Menurutnya, Pakej Kerja (WP) 3, WP4, WP10 dan WP29 dijangka mencapai Sijil Siap Sebahagian (CPC) dalam tahun ini sekiranya momentum pelaksanaan dapat dikekalkan.

“Pencapaian setakat ini amat memberangsangkan dan menunjukkan usaha semua pihak berada di landasan yang betul. Yang penting, jadual pelaksanaan mesti terus dipatuhi,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, Salleh turut meninjau kemajuan WP4 yang mencatat perkembangan signifikan apabila laluan baharu empat lorong dua hala di antara Jejambat Bongawan dan Jejambat Benoni mula digunakan orang ramai sejak 15 Jun lalu.
Pembukaan laluan berkenaan dijangka membantu mengurangkan kesesakan trafik di kawasan terlibat selain meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
Beliau turut memaklumkan bahawa WP6 dan WP7 sedang menuju ke peringkat akhir pelaksanaan dengan sasaran memperoleh CPC serta membuka laluan dari Jejambat Putatan hingga Persimpangan Bertingkat Sepanggar menjelang Oktober depan.
Pada masa yang sama, lima lagi pakej di bawah Fasa 1A dijadualkan disiapkan secara berperingkat antara tahun 2027 hingga 2028.
Bagaimanapun, Salleh mengingatkan bahawa kelewatan yang boleh dielakkan tidak seharusnya berlaku memandangkan impaknya bukan hanya kepada kos pembinaan tetapi juga kepada pembangunan negeri secara keseluruhan.
“Setiap hari kelewatan memberi implikasi kepada kos. Lebih penting, rakyat terpaksa menunggu lebih lama untuk menikmati kemudahan dan manfaat yang dijanjikan melalui projek ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan akan terus memainkan peranan memantau kemajuan projek serta memastikan kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan dapat diteruskan bagi menangani sebarang isu yang timbul.
Katanya, rakyat Sabah menaruh harapan besar terhadap Projek Pan Borneo dan semua pihak yang terlibat perlu memastikan setiap pakej kerja dapat disiapkan mengikut sasaran yang telah ditetapkan.
Lawatan berkenaan turut disertai Timbalan Pengarah JKR, pegawai-pegawai kanan JKR, wakil agensi kerajaan serta kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek tersebut. – UMNO Online
