Perkukuh Rumah Bangsa Demi Keluarga Besar UMNO, Terus Sokong BN

JOHOR BAHRU, 26 – Inisiatif Rumah Bangsa yang digerakkan oleh UMNO dilihat sebagai langkah penting dalam menyatukan kembali keluarga besar parti itu bagi memperkukuhkan kekuatan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya akan datang.

Pengerusi Veteran UMNO Johor, Datuk Othman Jais berkata, usaha yang dilaksanakan oleh kepimpinan UMNO Malaysia melalui Rumah Bangsa berjaya membuka ruang kepada bekas rakan seperjuangan untuk kembali bersama parti demi memastikan perjuangan UMNO terus relevan dalam membela masa depan rakyat dan negara.

Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan ahli parti, malah membantu mengeratkan hubungan antara generasi lama dan baharu dalam keluarga UMNO.

“Alhamdulillah, usaha yang dibuat oleh UMNO Malaysia untuk mengajak kembali rakan-rakan seperjuangan yang pernah bersama kita suatu ketika dahulu amat positif. Ini membuktikan UMNO masih relevan dan terus menjadi parti yang mampu menjamin kestabilan serta masa depan negara,” katanya.

Dalam masa sama, beliau yang juga mantan ADUN Buluh Kasap memaklumkan bahawa Veteran UMNO Johor turut melaksanakan pelbagai program akar umbi bagi memastikan sokongan kepada calon-calon BN terus diperkukuhkan, khususnya dalam kalangan pengundi muda yang didaftarkan secara automatik sebaik mencapai usia 18 tahun.

Ujarnya, pendekatan berasaskan keluarga yang diperkenalkan melalui slogan “Keluargaku Pengundi BN” telah menunjukkan hasil memberangsangkan apabila ahli keluarga veteran memainkan peranan mendekati anak, menantu dan cucu untuk memahami kepentingan mengekalkan kestabilan politik serta pembangunan negara.

“Veteran UMNO mempunyai jaringan yang kuat di peringkat cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM). Kita mengenali keluarga pengundi dan dapat mendekati generasi muda secara lebih dekat melalui hubungan kekeluargaan,” katanya.

Namun demikian Othman yang juga mantan Ketua UMNO Bahagian Segamat mengakui bahawa cabaran pilihan raya kali ini memerlukan seluruh ahli UMNO untuk terus bersatu dan mengetepikan perbezaan pandangan demi memastikan kemenangan calon-calon BN.

Menurutnya, usaha memperkukuhkan perpaduan melalui Rumah Bangsa dan gerak kerja akar umbi akan menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula kekuatan BN, selain menarik sokongan lebih luas daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Yang penting ialah memastikan semua ahli, keluarga dan sahabat keluar mengundi serta bersama-sama menyokong perjuangan yang membawa kestabilan dan kesejahteraan kepada negara,” katanya.

Beliau yakin gabungan semangat perpaduan dalam Rumah Bangsa, kesetiaan ahli parti dan pendekatan mesra rakyat yang dilaksanakan di peringkat akar umbi mampu memperkukuhkan kedudukan BN pada pilihan raya akan datang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai tarikh penamaan calon bagi PRN Johor, sekali gus membuka tempoh berkempen selama 14 hari untuk calon dan parti politik mendekati pengundi serta membentangkan agenda masing-masing. Pengundian awal akan berlangsung pada 7 Julai, manakala hari mengundi ditetapkan pada 11 Julai, apabila rakyat Johor akan membuat pilihan bagi menentukan kepimpinan negeri untuk penggal akan datang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO