UMNO Wilayah Persekutuan Mulakan Misi Bantu Kempen PRN Johor Ke-16
JOHOR BAHRU, 15 Jun — Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman memaklumkan telah memulakan misi membantu gerak kerja kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang bakal berlangsung pada 11 Julai depan.
Dalam lawatan kerja selama tiga hari ke Johor, beliau mengiringi Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bagi menghadiri siri perjumpaan dan sesi taklimat bersama kepimpinan UMNO di empat bahagian utama iaitu Pulai, Tebrau, Iskandar Puteri dan Johor Bahru.

Sesi-sesi tersebut bertujuan mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai situasi politik semasa, tahap kesiapsiagaan jentera parti serta strategi menghadapi pertandingan di lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di bawah empat bahagian berkenaan.
Menurut beliau, kerjasama erat antara UMNO Wilayah Persekutuan dan kepimpinan tempatan penting bagi memastikan setiap gerak kerja kempen dapat dilaksanakan secara tersusun, berfokus dan berkesan menjelang hari pengundian.

UMNO Wilayah Persekutuan dijangka menggerakkan tenaga kerja dan sukarelawan bagi membantu jentera tempatan sepanjang tempoh kempen. Langkah itu dilihat mampu memperkukuhkan usaha parti dalam mendekati pengundi serta menyampaikan agenda perjuangan Barisan Nasional di semua kawasan yang terlibat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 27 Jun 2026, manakala pengundian bagi PRN Johor Ke-16 akan berlangsung pada 11 Julai 2026. – UMNO Online
Oleh: Zanuddin Salleh
