Di Sebalik Sambutan UMNO 80 Tahun, Tersirat Isyarat Politik dan Penyatuan Bangsa
SAMBUTAN ulang tahun UMNO ke-80 kali ini tidak sekadar menjadi acara memperingati sejarah sebuah parti politik terbesar orang Melayu.
Ia hadir dengan simbolisme yang jauh lebih mendalam ketika berlangsung di Istana Besar Johor, sebuah lokasi yang membawa serta punya makna sejarah, tradisi dan hubungan panjang antara politik Melayu dengan institusi Raja-Raja Melayu.
Pada awalnya ramai melihat keberangkatan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, sekadar melambangkan hubungan akrab Johor dengan UMNO sejak dahulu. Namun suasana menjadi lebih signifikan apabila Yang di-Pertuan Agong turut berangkat hadir bersama.
Dalam keadaan politik negara yang masih belum benar-benar stabil, kehadiran Seri Paduka Baginda memberi isyarat yang sukar untuk diabaikan.
Ia seolah-olah membawa mesej bahawa dalam suasana orang Melayu semakin berpecah, politik semakin herot dan institusi diraja mula diperdebatkan secara terbuka di media sosial, negara memerlukan semula titik keseimbangan. Simbol “UMNO kembali ke istana” bukan sekadar nostalgia politik lama, tetapi memberi gambaran tentang pentingnya hubungan harmoni antara politik, rakyat dan institusi raja dalam kerangka negara bangsa Malaysia.
Kebelakangan ini, masyarakat Melayu kelihatan berada dalam keadaan yang agak bersimpang siur. Parti politik Melayu semakin banyak, namun kesatuan semakin menjauh sesama bangsa. Setiap kelompok mendakwa merekalah paling mempertahankan Melayu, tetapi akhirnya orang Melayu sendiri menjadi lesu dengan pertelingkahan yang tidak punya makna yang konkrit buat perjuangan bangsa.
Politik terlalu dipenuhi sentimen dan perebutan kuasa sehingga isu sebenar rakyat seperti kos sara hidup, pendidikan anak muda, peluang pekerjaan dan masa depan ekonomi kadangkala tenggelam di tengah kebisingan politik.
Dalam masa sama, media sosial turut mengubah budaya politik negara. Sempadan adab semakin nipis. Institusi Raja-Raja Melayu yang selama ini menjadi payung kestabilan negara juga tidak terlepas daripada kritikan melampau dan penghinaan terbuka.
Atas nama kebebasan bersuara, ada yang lupa bahawa Malaysia dibina atas kerangka Raja Berperlembagaan yang menjadi antara asas penting keseimbangan negara majmuk ini.
Sebab itu, peristiwa sambutan ulang tahun UMNO di Istana Besar Johor membawa makna psikologi dan politik yang besar. Ia seolah-olah mengingatkan bahawa apabila politik menjadi terlalu bercelaru, negara masih mempunyai institusi yang boleh menjadi simbol penyatuan dan kestabilan.
Namun mesej itu juga harus dibaca secara jujur oleh UMNO sendiri. Parti berusia 80 tahun itu tidak boleh sekadar bergantung kepada sejarah dan sentimental nostalgia Melayu semata-mata.
UMNO perlu membuktikan bahawa mereka masih relevan untuk generasi baharu bukan hanya sebagai parti pilihan raya, tetapi sebagai wadah yang mampu membawa kestabilan politik, kesederhanaan dan penyatuan masyarakat Melayu dalam kerangka Malaysia yang lebih luas.
Kepada orang Melayu pula, peristiwa ini memberi peringatan bahawa kekuatan bangsa bukan hanya bergantung kepada siapa paling lantang bercakap soal Melayu.
Kekuatan sebenar lahir daripada kebijaksanaan membina perpaduan, menjaga adab terhadap institusi negara dan memastikan politik tidak memusnahkan masa depan generasi sendiri.
Dan kepada seluruh rakyat Malaysia, mesej paling besar daripada peristiwa ini mungkin cukup mudah, yakni, negara ini terlalu berharga untuk terus dibiarkan terumbang-ambing dengan politik yang tiada makna konstruktif.
Malaysia memerlukan kepimpinan yang matang, institusi yang dihormati dan budaya politik yang lebih menenangkan rakyat, bukan terus menambah luka perpecahan yang semakin dalam.

Datuk Zakaria Dullah
