Lapan Dekad: UMNO Sabah Utamakan Kestabilan, Kesejahteraan Rakyat
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Sempena ulang tahun UMNO ke-80, UMNO Sabah merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli, veteran perjuangan, jentera akar umbi dan rakyat yang terus bersama mendukung perjuangan parti ini sejak dahulu hingga hari ini, kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Samasuddin Yusop.
Menurutnya, dengan semangat ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’, UMNO Sabah akan terus memperkukuhkan perjuangan mempertahankan institusi, memelihara kestabilan negeri dan memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
“UMNO menyambut ulang tahunnya yang ke-80. Satu perjalanan panjang yang penuh dengan sejarah perjuangan, pengorbanan dan jasa kepada agama, bangsa dan negara.
“UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 atas asas mempertahankan maruah bangsa, kedaulatan tanah air, hak Bumiputera serta keluhuran Institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tunjang kestabilan negara hingga hari ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Samasuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan menjelaskan dalam konteks Negeri Sabah, perjuangan tersebut dizahirkan menerusi usaha mempertahankan Institusi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah sebagai lambang perpaduan rakyat, kestabilan negeri serta kelangsungan sistem demokrasi berperlembagaan.

“Institusi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah bukan sekadar simbol pentadbiran negeri, tetapi merupakan institusi yang wajib dihormati dan dipelihara oleh seluruh rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
“UMNO Sabah berdiri teguh mempertahankan keluhuran institusi ini demi memastikan keharmonian dan kestabilan negeri terus terjamin,” katanya lagi.
Seterusnya kata beliau lagi, UMNO Sabah percaya kestabilan politik merupakan asas penting kepada kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“UMNO Sabah percaya bahawa kestabilan politik adalah asas penting kepada kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru, kestabilan Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri perlu terus dipelihara demi memastikan agenda pembangunan dan kepentingan rakyat dapat dilaksanakan secara berterusan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Samasuddin turut menegaskan bahawa UMNO Sabah sentiasa menjunjung semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai asas pembentukan Malaysia.
“UMNO Sabah juga sentiasa menjunjung semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai asas pembentukan Malaysia serta komited mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Sabah, termasuk hak-hak Bumiputera secara adil dan berhemah,” ujarnya. – UMNO Online
