Jangan Jadi ‘Batu Api’, Wan Rosdy Tegur Lim Guan Eng
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menegaskan bahawa kenyataan berunsur provokasi dalam kalangan pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan hanya akan menjejaskan usaha memperkukuh kestabilan politik negara.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Penasihat Dap, Lim Guan Eng, yang menyifatkan Barisan Nasional sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai dalam kerajaan.
Menurut Wan Rosdy, kenyataan sedemikian tidak membantu dalam suasana ketika pimpinan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan sedang berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap beberapa isu semasa.

“Saya memandang serius kenyataan Penasihat Dap, Lim Guan Eng yang menyifatkan UMNO dan Barisan Nasional sebagai rakan yang tidak boleh dipercayai dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kenyataan sedemikian tidak membantu, malah boleh mengeruhkan keadaan ketika pimpinan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap beberapa isu yang timbul kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang turut mengingatkan agar semua pemimpin, khususnya yang berpengalaman, tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan parti komponen kerajaan.
“Saya ingin mengingatkan Lim Guan Eng agar tidak menjadi batu api yang mampu mencetuskan masalah lebih besar.
“Jika beliau mempunyai pandangan negatif terhadap UMNO dan Barisan Nasional, beliau juga perlu memahami bahawa ramai dalam UMNO dan BN mempunyai pandangan yang sama terhadap beliau.”
Beliau menambah bahawa tanggungjawab utama pemimpin kerajaan ketika ini adalah untuk memperkukuh kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan hubungan sedia ada.
“Demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat, semua pihak perlu bertindak matang dan profesional. Sebagai pemimpin senior, tanggungjawab kita adalah untuk menyatukan dan memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan hubungan antara parti-parti dalam kerajaan.
“Rakyat mahukan kestabilan dan penyelesaian, bukan pertelingkahan politik yang berpanjangan,” katanya lagi. – UMNO Online
