Pahang Terima Kunjungan Hormat Delegasi Singapura, Perkukuh Hubungan Dua Hala

KUANTAN, 6 Mei – Kerajaan Negeri Pahang hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Singapura yang diketuai oleh Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong, dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua pihak.

Delegasi tersebut turut disertai oleh Menteri Negara di Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura, Zhulkarnain Abdul Rahim, Ahli Parlimen Singapura Joan Pereira, Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia Vanu Gopala Menon serta pegawai-pegawai Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura.

Kunjungan hormat itu disambut oleh Menteri Besar Pahang merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang.

Antara yang hadir termasuk Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Nazri Abu Bakar, Pegawai Kewangan Negeri Pahang Datuk Fadzilla Salleh, Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang Datuk Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, serta beberapa Exco negeri.

Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pertemuan itu menjadi platform penting dalam mempererat hubungan antara Pahang dan Singapura.

“Pertemuan ini membuka ruang perbincangan yang amat bermakna dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Negeri Pahang dan Singapura, khususnya dalam aspek pelaburan, pembangunan ekonomi serta kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau menambah, kerjasama yang terjalin diharap dapat terus diperkukuh demi kemakmuran bersama serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

“Semoga hubungan baik yang telah terjalin antara negeri Pahang dan Singapura akan terus diperkukuh demi kemakmuran bersama, selain membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi impak positif kepada rakyat dan pembangunan negeri,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO