UMNO Terus Kekal Relevan, Dapat Sokongan Generasi Muda – Mohd Faizal Ramli
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Konvensyen Ulang Tahun UMNO ke-80 Sabtu lalu menjadi bukti bahawa parti itu masih kekal relevan dan terus mendapat sokongan, termasuk daripada golongan muda, meskipun berdepan pelbagai cabaran politik semasa.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Faizal Ramli berkata, kekuatan UMNO terletak pada asas penubuhannya yang bukan berasaskan individu, sebaliknya sebagai wadah penyatuan orang Melayu bagi mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Port Dickson menegaskan bahawa konvensyen tersebut bukan sekadar mengenang sejarah, tetapi menjadi platform penting untuk memperkukuh parti melalui pelbagai pandangan, cadangan dan idea baharu daripada kepimpinan di semua peringkat.
“UMNO akan terus hidup dan menjadi parti yang mendengar suara pemimpin negeri serta pucuk pimpinan. Dari situ kita dapat melihat pelbagai cadangan dan idea yang boleh menambah baik perjuangan parti,” katanya.
Menurut beliau, UMNO kini sedang melalui fasa pembaharuan dengan memberi lebih ruang kepada generasi muda untuk bersama-sama membina masa depan parti.
“Ini adalah petunjuk yang positif apabila semakin ramai anak muda mula percaya dan yakin bahawa UMNO adalah parti yang akan membela nasib mereka dahulu, kini dan selamanya,” ujarnya.
Mengulas persepsi negatif terhadap parti itu, beliau berkata ia banyak dipengaruhi oleh naratif pihak tertentu, namun UMNO kini sedang berusaha membina semula keyakinan rakyat.
“Walaupun kita pernah memerintah selama lebih 60 tahun dan berdepan cabaran serta fitnah, namun kita sedang bangkit semula untuk mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh ahli parti agar terus bersatu dan memperkukuh perjuangan UMNO.
“Semoga UMNO kekal kukuh. Kepada semua anggota parti, marilah kita bersama-sama bangkit dan lakukan yang terbaik,” tambahnya lagi. – UMNO Online
