Tiga Agenda Jadi Pemangkin Besar Perjuangan Melayu – Yusri Che Noh
KUALA LUMPUR, 6 Mei – UMNO bangkit dengan pendekatan lebih menyeluruh dan berpaksikan kekuatan dalaman parti bagi memastikan kesinambungan perjuangan bangsa terus relevan dalam mendepani cabaran masa depan.
Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Yusri Che Noh berkata, sejarah panjang perjuangan UMNO membuktikan bahawa kekuatan sebenar parti bukan sekadar terletak pada struktur organisasi, sebaliknya pada kesatuan hati serta keutuhan jati diri ahlinya.
Menurutnya, berteraskan kesedaran UMNO kini berada di landasan tepat untuk bangkit semula melalui tiga agenda utama yang digariskan kepimpinan tertinggi iaitu Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Grand Collaboration.
“Tiga agenda ini merupakan pemangkin utama kepada keutuhan agama, bangsa dan tanah air. Ia menuntut komitmen sepenuhnya daripada seluruh barisan kepimpinan dan ahli di setiap peringkat cawangan, bahagian, perhubungan UMNO negeri sehinggalah ke peringkat pengurusan tertinggi parti di bawah panduan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Konsep Rumah Bangsa, UMNO perlu jadi sebuah rumah besar yang sentiasa terbuka pintu untuk semua orang Melayu tanpa mengira sokong parti mana sekali pun. Jika ada masalah dan isu yang sukar,boleh datang ke Rumah Bangsa untuk mencari jalan penyelesaian bersama.
“Pendekatan melalui Musyawarah Nasional, menjemput semua orang Melayu bersatu hati tanpa mengira fahaman politik masing-masing duduk semeja dan bersatu hati untuk pastikan agama, bangsa dan tanah air sentiasa terjaga serta ekonomi bumiputera berkembang dengan pesat,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam pada itu, beliau menambah bahawa melalui Grand Collaboration, UMNO perlu memainkan peranan sebagai tunjang kestabilan politik negara walaupun bekerjasama dengan pelbagai pihak.
“UMNO perlu mengamalkan politik yang lebih tenang dan bijak. Walaupun kita bekerjasama (Grand Collaboration) dengan pihak lain, UMNO tetap menjadi tunjang utama dalam kerajaan. Tujuannya supaya negara kita stabil dan hak-hak orang Melayu dan kedaulatan Islam terbela,” katanya lagi.
Menyentuh soal pembinaan generasi masa depan, Yusri menegaskan bahawa usaha melahirkan pewaris bangsa untuk tempoh dua dekad akan datang perlu bermula dengan memperkukuh sistem pendidikan yang menekankan adab, sejarah dan nilai-nilai Melayu.
“Kita perlu memartabatkan semula adab, sejarah dan nilai Melayu dalam pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan pemimpin yang bukan sahaja berilmu tinggi, malah sentiasa rendah diri dan tetap teguh mempertahankan asal usul bangsanya.
“Perlu melahirkan seramai mungkin generasi yang mampu bersaing di pentas dunia yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang seperti ekonomi moden, teknologi digital termasuk AI yang jitu berpaksikan akar budaya, identiti bangsa dan agama.
“Kita mesti melahir dan mendidik barisan pelapis agar memahami bahawa jawatan itu adalah satu amanah untuk memberi manfaat kepada rakyat, bukannya satu keistimewaan untuk kepentingan peribadi,” jelasnya.
Pada masa sama beliau turut menekankan ibrah daripada peranan institusi seperti Biro Tata Negara (BTN) yang suatu ketika dahulu dipelopori oleh pemimpin UMNO dalam mendidik anak bangsa agar mempunyai semangat patriotisme yang menebal serta cinta yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air. – UMNO Online
