BN Perlu Dominan PRU Akan Datang, Kurangkan Kebergantungan Kerjasama
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Barisan Nasional (BN) perlu dominan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerjasama politik bagi membentuk kerajaan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kehadiran UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan pasca PRU ke-15 amat penting bagi memastikan negara tidak berdepan kekosongan kerajaan yang boleh membawa pelbagai implikasi.

“Memang masih lagi ada yang menimbulkan isu kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) ini kerana adanya Dap. Ini yang menjadi perkara pokok kepada pendirian ataupun pandangan yang mereka berikan.
“Kehadiran dan keberadaan UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan dan kerjasama tersebut berasaskan kepada satu perkara yang sangat ‘fundamental’ pada ketika itu … kita perlu membentuk kerajaan. Ketiadaan kerajaan akan memberi banyak masalah.
“BN tidak boleh sombong sebab kita tak cukup jumlah. Itu sebabnya di Johor oleh kerana kerusi cukup, kita tak ada pun wujudkan bekerjasama dengan mana-mana pihak. Itu boleh berlaku di peringkat pusat kalau kita pastikan BN, yang kita yakin dan percaya telah belajar daripada pengalaman serta tidak akan mengulangi kesilapan mahupun kelemahan dahulu,” katanya menerusi hantaran video yang dimuatnaik di laman Facebooknya.
Ujarnya, landskap politik pada hari ini memperlihatkan bahawa kebarangkalian untuk sesebuah parti membentuk kerajaan secara bersendirian adalah agak sukar.
“Dalam dunia politik sekarang tidak mungkin ada mana-mana parti yang mendominasi. Maknanya memang perlu ada kerjasama. Pokoknya kerjasama yang nak dibuat itu mestilah ada satu parti Melayu yang kuat dan akan berbincang atas landasan yang kukuh… dan kita tiada banyak pilihan.
“Kalau UMNO ada 90 kerusi, kita ajak Sabah, Sarawak, kita dah cukup lebih. Tetapi kita juga menyedari mesti ada wakil bangsa lain dalam kerajaan sebab ini bukan kerajaan orang Melayu saja. Dasar-dasar kita mesti disokong oleh semua kaum.
“Di Selangor Kerajaan Perpaduan tetapi ‘weightage’ lebih kepada PH. Di Melaka Kerajaan Perpaduan tetapi ‘weightage’ lebih pada BN. Di Negeri Sembilan dan Pahang, jumlah kerusi seimbang.
“Lain pula di Perak. Walaupun PH ada banyak kerusi, tetapi jawatan Menteri Besar dia beri kepada BN. Jadi situasinya berbeza-beza, jangan dirangkumkan semua. Keadaan itulah yang membuatkan adanya perbezaan itu. Akan ada fleksibiliti. Jadi, kita tidak tahu lagi bagaimana kemungkinannya pada pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa keteguhan UMNO menyambut ulang tahun yang ke-80 mencerminkan kesetiaan ahli-ahli terhadap parti.
“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut ulang tahun UMNO yang ke-80 kepada semua kepimpinan dan ahli-ahli parti yang selama ini telah bersama-sama untuk menjayakan UMNO.
“Kita bersyukur kerana walaupun UMNO berhadapan dengan pelbagai cabaran kita telah dapat sampai ke tahap ini. Secara tidak langsung ia menggambarkan kesetiaan ahli-ahli kepada parti.
“Saya percaya semangat dan nilai juang serta kesetiaan yang selama ini dipegang dan diamalkan oleh anggota-anggota parti akan terus dijadikan sebagai panduan supaya UMNO ini akan dapat terus wujud lebih-lebih lagi dalam soal untuk menjayakan matlamatnya untuk memimpin, memandu orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia.
“… supaya ia bukan sahaja mampu untuk menangani cabaran tetapi memenuhi harapan dan aspirasi bangsa. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada parti kita, UMNO,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
