UMNO Perlu Terus Relevan, Bangkit Lebih Kuat – Mohd Zaidy

JEMPOL, 5 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menzahirkan harapan agar UMNO terus kekal relevan dan bangkit lebih kuat dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Menurut beliau, meskipun parti itu pernah melalui detik sukar termasuk kekalahan pada tahun 2018, UMNO telah membuktikan kemampuannya untuk kembali dalam kepimpinan negara dengan baik.
“Walaupun berdepan pelbagai pancaroba, halangan dan cabaran, hari ini UMNO telah membuktikan bahawa parti ini mampu bangkit kembali dan terus bersama-sama memimpin negara dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejayaan pelaksanaan sambutan ulang tahun UMNO ke-80 menerusi konvensyen yang berlangsung pada Sabtu.

Mohd Zaidy turut menyambut baik peningkatan penyertaan golongan muda dalam parti itu, yang dilihat sebagai perkembangan positif dalam usaha memperkukuh masa depan UMNO.

“Kita dapat melihat semakin ramai anak-anak muda menyertai UMNO. Ini satu perkembangan yang baik dan mampu mengubah wajah parti agar terus relevan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh kepimpinan parti, sama ada lama mahupun baharu, agar terus bersatu dan bermuafakat demi memperkukuhkan perjuangan parti.

“Saya harap semua kepimpinan terus bersatu hati di bawah satu bumbung. Kita mesti pertahankan parti keramat ini demi agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

Beliau turut mengajak orang ramai yang masih belum menjadi ahli UMNO agar mengambil peluang untuk mendaftar dan bersama-sama memperjuangkan nasib bangsa.

“Masih belum terlambat untuk menjadi sebahagian daripada perjuangan ini. Ayuh kita bersama mempertahankan dan memperkukuh parti,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO