UMNO Bentong Perkukuh Jentera Selari Hala Tuju Agenda Besar Parti

BENTONG, 5 Mei – UMNO Bahagian Bentong terus memanfaat ruang dengan memperkukuh gerak kerja dan kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), khususnya dalam usaha mempertahankan kerusi Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dan Sabai.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh, berkata Mesyuarat UMNO Bahagian yang berlangsung baru-baru ini memberi tumpuan kepada pengukuhan organisasi akar umbi serta penyelarasan gerak kerja jentera di semua peringkat.

Menurut beliau, fokus utama adalah memastikan jentera parti lebih tersusun, berkesan dan bersatu dalam usaha mempertahankan kerusi BN di DUN Pelangai yang disandang UMNO serta DUN Sabai yang diwakili MIC.

“Perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh dan memperkasakan jentera parti supaya kita benar-benar bersedia menghadapi PRU-16, khususnya dalam mempertahankan kerusi BN di Bentong,” katanya.

Beliau berkata, usaha pengukuhan jentera ini turut seiring dengan hala tuju besar UMNO yang digariskan Presiden parti melalui tiga agenda utama menerusi Konvenseyen UMNO baru-baru ini.

“Sekarang adalah masa untuk memperkukuh masa depan perjuangan. Tiga agenda tersebut ialah Agenda Rumah Bangsa, yang menekankan penyatuan semula kekuatan politik Melayu sebagai satu wadah perjuangan yang lebih inklusif dan kukuh tanpa perpecahan dalaman.

“Agenda kedua, Musyawarah Nasional, memberi penekanan kepada usaha membina semula jati diri dan kekuatan pemikiran bangsa Melayu-Islam dengan melibatkan cendekiawan, agamawan, teknokrat, profesional serta golongan muda dalam merangka penyelesaian cabaran semasa.

“Sementara itu, Grand Collaboration menjadi agenda ketiga yang membawa pendekatan baharu politik kerjasama, daripada budaya pertembungan kepada kolaborasi strategik bagi memastikan kestabilan negara dan pengukuhan kedudukan politik Melayu-Islam dalam kerangka lebih matang.”

Tegas Mohd Zaini, melalui gerak kerja di akar umbi tentunya usaha bagi pengukuhan parti akan dapat dilaksana dengan lancar.

“Jentera di peringkat bahagian akan terus diperkasa selaras dengan visi jangka panjang parti, dengan matlamat melahirkan generasi Melayu yang lebih berdaya saing, berilmu dan bersatu.

“Langkah pengukuhan jentera ini sebagai persediaan awal UMNO Bentong dalam menghadapi landskap politik yang semakin mencabar, malah ini adalah ruang untuk kita lebih bersedia atas sebarang kemungkinan agar kelak kita terus sentiasa relevan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO