UMNO Tidak Boleh Berdiam Diri Jika Institusi Raja, Adat Perpatih Tidak Dihormati – Jalaluddin

SEREMBAN, 5 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan bahawa UMNO tidak boleh berdiam diri sekiranya prinsip asas melibatkan institusi Raja-Raja Melayu dan Adat Perpatih tidak lagi dihormati sewajarnya.

Ujarnya, perjuangan politik yang dibawa bersama 13 ADUN UMNO lain bukanlah didorong oleh kepentingan jawatan, sebaliknya berasaskan prinsip dan tanggungjawab mempertahankan institusi serta asas perjuangan parti.

“Ada yang bertanya, mengapa saya dan 13 rakan ADUN UMNO yang lain memilih jalan yang sukar ini? Mengapa kami bertegas mendesak Menteri Besar turun dari kepimpinan negeri?

“Jawapannya tidak ditemui di kerusi empuk kuasa, tetapi di akar umbi. Saya pulang ke tempat permulaan saya berpolitik untuk menegaskan satu perkara: Gerakan kami bukan kerana nafsu mahukan jawatan atau gila kuasa.

“Saya sudah melalui fasa itu. Kepulangan saya ke cawangan adalah simbolik bahawa saya tetap Jalaluddin yang dulu, yang orang kampung saya kenal sejak berpuluh tahun lalu yang meletakkan prinsip UMNO di atas segala-galanya,” katanya.

Memetik hantaran menerusi laman Facebooknya, beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan Tahunan UMNO Cawangan Kampung Amar Penghulu.

Menurut beliau, tindakan tegas yang diambil tidak boleh dilihat sebagai perebutan kuasa, sebaliknya sebagai usaha mempertahankan nilai dan struktur asas yang menjadi teras perjuangan parti.

Beliau turut menambah bahawa UMNO lahir daripada hubungan erat antara institusi Raja-Raja Melayu dan rakyat, justeru sebarang pengabaian terhadap institusi tersebut dianggap sebagai ancaman kepada roh perjuangan parti.

“Apabila ‘red line’ dilanggar dan Institusi DiRaja Melayu dan Adat Perpatih tidak lagi diletakkan di tempat yang selayaknya, UMNO tidak boleh berdiam diri. UMNO lahir dari rahim istana dan rakyat. Jika kita gagal mempertahankan kedaulatan Raja-Raja kita, maka hilanglah roh perjuangan parti keramat ini.

“Saya lebih rela berdiri teguh di sini, bersama ahli cawangan, ahli bahagian, ahli parti saya yang setia, daripada duduk selesa di atas kerusi yang dibina dengan membelakangkan prinsip. Biarlah sejarah mencatatkan, kami melawan bukan untuk diri sendiri, tapi demi maruah sebuah institusi dan masa depan Negeri Sembilan yang kita cintai,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO