UMNO Ke-80: Rumah Bangsa Jadi Pemangkin Kembalinya Sokongan Rakyat
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Manndzri Nasib berpandangan bahawa gagasan Rumah Bangsa menjadi pemangkin kepada kembalinya sokongan rakyat kepada parti.
Ini kerana katanya, gagasan tersebut telah berjaya mengembalikan lebih 6,000 ahli yang sebelum ini berada di luar parti untuk bersama-sama menjunjung semula perjuangan UMNO.

“Kita pada hari ini dengan gagasan baharu yang digarabkan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui konsep Rumah Bangsa, jelas berada di landasan yang tepat. Malah, terdapat beberapa pembuktian yang telah kita terima.
“Pertamanya, Rumah Bangsa berjaya membawa kembali lebih 6,000 ahli yang sebelum ini berada di luar parti atas pelbagai sebab. Keduanya, kita menghampiri angka 14,000 pendaftaran baharu terutamanya dalam kalangan anak muda melalui sistem atas talian yang diperkenalkan.
“Seiring dengan sambutan ulang tahun ke-80 ini, kedua-dua indikator ini merupakan satu perkembangan yang amat membanggakan,” katanya kepada UMNO Online.
Tambahnya, penganjuran Konvensyen UMNO 80 Tahun yang berlangsung pada Sabtu bertepatan dengan semangat kebangkitan parti.
“Selain itu, penganjuran konvensyen pada hari ini juga dilihat sangat bertepatan dengan semangat kebangkitan yang sedang kita rasai. Saya melihat kita kini berada di ambang kebangkitan besar seperti dihasratkan.
“Satu lagi perkara menarik dalam sambutan ini ialah ucapan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Johor dilihat mewakili negeri-negeri di bawah pentadbiran UMNO/Barisan Nasional (BN), iaitu Johor, Perak, Pahang dan Melaka.
“Apa yang dizahirkan ialah kesungguhan untuk membuktikan bukan sahaja kepada rakyat negeri-negeri tersebut, malah kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa UMNO/BN mampu mengembalikan kegemilangan negara seperti yang pernah dinikmati suatu ketika dahulu.
“Rekod pentadbiran empat negeri ini menjadi asas keyakinan kepada ahli parti dan memberi harapan baharu kepada rakyat Malaysia untuk melihat UMNO/BN kembali menerajui pentadbiran negara,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Manndzri yang juga Ahli Parlimen Tenggara turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO di atas ketegasan beliau mempertahankan parti daripada dibubarkan.
“Selain itu, ucapan wakil dari Selangor turut membawa satu kesedaran besar. Hakikatnya, tanpa keberanian Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, UMNO mungkin tidak akan sampai ke usia 80 tahun hari ini.
“Pada suatu ketika, parti ini pernah berdepan tekanan hebat untuk dibubarkan dan digantikan dengan parti lain. Namun, atas prinsip meletakkan parti mengatasi kepentingan peribadi, beliau memilih untuk mempertahankan UMNO walau berdepan pelbagai risiko. Dengan izin Allah, kita masih berdiri teguh hari ini dan bakal menyambut ulang tahun ke-80 UMNO pada 11 Mei.
“Lapan dekad perjalanan ini sarat dengan sejarah perjuangan, pembangunan negara dan pemerkasaan bangsa Melayu. Ia juga dipenuhi dengan pelbagai cabaran yang berjaya ditempuhi.
“Dalam kesempatan ini, saya secara peribadi sebagai ahli UMNO seumur hidup ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan parti atas kekuatan dan ketabahan yang ditunjukkan. Sesungguhnya, sambutan 80 tahun ini bukan sekadar meraikan sejarah, tetapi menjadi titik tolak kepada masa depan perjuangan yang lebih gemilang,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
