Wanita UMNO Pasir Salak Seru Perkukuh Gerak Kerja, Selaras Aspirasi Konvensyen dan Kongres

PASIR SALAK, 5 Mei – Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin menegaskan bahawa usaha memperkukuh parti perlu terus menjadi keutamaan, selaras dengan semangat penyatuan yang digariskan dalam Konvensyen UMNO serta aspirasi pemerkasaan yang dibawa melalui Kongres Pendidikan Bumiputera baru-baru ini.

Beliau berkata, pendekatan “Rumah Bangsa” yang diketengahkan di peringkat nasional harus diterjemahkan secara menyeluruh di akar umbi sebagai jambatan untuk menyatukan semula kekuatan parti.
“Rumah Bangsa bukan sekadar slogan, tetapi satu seruan besar yang selari dengan roh Konvensyen UMNO. Kita merapati masyarakat tanpa mengenal perbezaan warna politik, memujuk mereka yang pernah menjauh untuk kembali bersama demi masa depan perjuangan. Mereka juga asalnya lahir daripada rahim UMNO, pulanglah ke rumah,” katanya mesra.

Menurut beliau, resolusi dan perbincangan dalam Kongres Pendidikan Bumiputera turut memberi isyarat jelas bahawa kekuatan masa depan bangsa bergantung kepada kesatuan politik, kestabilan serta keupayaan parti untuk memahami dan memenuhi keperluan rakyat.

“Isu pendidikan, pembangunan modal insan dan cabaran era baharu seperti AI dan media sosial yang dibincangkan dalam kongres menunjukkan bahawa UMNO selari dengan kehendak rakyat dan bersifat progresif. Di sinilah suara dan peranan Wanita sebagai ibu kepada parti menjadi sangat penting.

“Kita mahukan kebangkitan yang lahir daripada keikhlasan dan kasih sayang. Seperti zaman dahulu — lahirnya kemerdekaan kerana kecintaan yang hebat kepada negara dan bangsa. Jika kita benar-benar ikhlas dalam perjuangan, tidak mustahil UMNO akan kembali menjadi parti yang dominan dan dihormati.

“Konvensyen dan kongres telah memberi hala tuju yang jelas. Kini tanggungjawab kita adalah melaksanakannya. Perjuangan ini adalah untuk generasi akan datang dan masa depan negara,” tegasnya.

Beliau menambah, UMNO sedar bahawa hasil daripada peredaran masa dan perkembangan ilmu, landskap politik hari ini sangat dinamik dan semakin mencabar.

“Kita tidak boleh hanya bernostalgia dengan kekuatan lama. Kita perlu membina kekuatan baharu — lebih bersatu, lebih matang dan lebih bersedia, selari dengan tuntutan semasa yang dibangkitkan dalam kongres dan konvensyen,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak kekal aktif melaksanakan gerak kerja di peringkat akar umbi melalui program turun padang dan ziarah kebajikan.

“Pendekatan mendekati masyarakat secara langsung adalah manifestasi sebenar perjuangan kita. Kita bukan sekadar bercakap soal dasar, tetapi melaksanakannya di lapangan.

“Wanita UMNO Pasir Salak sentiasa mendekati masyarakat di akar umbi. Usaha berterusan ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara parti dan rakyat, malah menjadi asas penting dalam membina semula kepercayaan serta memastikan UMNO kekal relevan dalam mendepani cabaran masa depan.” – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO