Johor Umum 22 Inisiatif BKJ Fasa Keempat Bernilai RM138 Juta, Manfaat Lebih 600,000 Rakyat

JOHOR BAHRU, 5 Mei – Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh agenda kebajikan rakyat apabila mengumumkan pelaksanaan 22 inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM138 juta, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 600,000 rakyat negeri ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besarnya Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang ke-15, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan hasil negeri dikembalikan kepada rakyat melalui program berimpak tinggi.

Menurut beliau, prestasi kewangan negeri Johor menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila hasil negeri setakat 30 April 2026 mencecah RM1 bilion, iaitu meningkat sebanyak RM307 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Syukur Alhamdulillah, pencapaian hasil negeri ini membuktikan Johor berada di landasan yang baik. Setiap peningkatan ini akan kita pulangkan semula kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif yang memberi kesan terus kepada kehidupan mereka,” katanya.

Tambah beliau, antara fokus utama BKJ Fasa Keempat termasuk bantuan tunai kepada golongan sasar seperti warga emas, suri rumah tidak bekerja, pasangan baru berkahwin, orang kurang upaya (OKU), anak yatim serta penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam masa sama, Kerajaan Negeri turut memperluaskan inisiatif Jualan Kasih Johor dengan tambahan peruntukan RM30 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM45.4 juta, yang dijangka memberi manfaat kepada sekitar 750,200 keluarga di seluruh negeri.

“Insya-Allah, sekiranya hasil negeri terus meningkat dan rezeki Johor bertambah, lebih banyak bantuan akan dapat disalurkan kepada Bangsa Johor. Namun saya akui, usaha ini masih belum mencukupi dan kita akan terus berusaha,” ujar beliau.

Onn Hafiz turut menyeru agar seluruh rakyat Johor bersama-sama mendoakan kesejahteraan negeri agar terus diberkati, aman dan makmur.

“Saya berharap kita semua terus berdoa agar Johor dimurahkan rezeki, dikurniakan keberkatan, dijauhkan daripada bencana, dan terus kekal maju demi kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO