Norliza Sambut Baik Amanat 80 Tahun, Tekankan Peranan Wanita Penggerak Kebangkitan
KUALA LUMPUR, 5 Mei — Konvensyen UMNO ke-80 yang berlangsung dengan jayanya Sabtu lalu menjadi platform penting dalam menilai perjalanan panjang parti serta merangka hala tuju masa depan yang lebih strategik dalam landskap politik semasa.
Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menyifatkan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa penggulungan sebagai satu amanat penting yang menggariskan hala tuju jelas kebangkitan parti.
Menurut beliau, tiga agenda besar yang diketengahkan dalam ucapan tersebut membuka ruang luas kepada wanita UMNO untuk tampil sebagai tulang belakang dalam usaha memperkukuh parti dan menyatukan bangsa Melayu.

“Wanita UMNO melihat Agenda Rumah Bangsa sebagai satu peluang besar untuk merangkul kembali kekuatan yang terpisah. Dalam konteks ini, wanita memainkan peranan penting sebagai pendamai, penyatu dan penghubung dalam masyarakat,” katanya.
Beliau menambah bahawa sifat semula jadi wanita yang dekat dengan institusi keluarga dan komuniti menjadikan mereka agen paling berkesan dalam mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO.
Mengulas mengenai Agenda Musyawarah Nasional, Norliza menegaskan bahawa penglibatan wanita tidak boleh dipinggirkan, khususnya dalam menangani isu kemerosotan jati diri generasi muda.
“Wanita UMNO perlu berada di barisan hadapan dalam membina semula nilai dan akhlak anak bangsa. Kita bukan sahaja pendidik dalam keluarga, tetapi juga pembimbing dalam masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut menyambut baik gagasan Grand Collaboration yang disifatkan sebagai pendekatan matang dalam landskap politik semasa, sambil menegaskan bahawa wanita mampu menjadi jambatan dalam merintis kerjasama politik yang lebih inklusif.
“Pendekatan kolaborasi ini memerlukan kebijaksanaan, kesabaran dan keikhlasan iaitu nilai-nilai yang sinonim dengan kepimpinan wanita. Justeru, Wanita UMNO bersedia memainkan peranan lebih besar dalam menjayakan agenda ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Norliza yang juga Pengerusi PTPTN turut menyokong visi Presiden untuk melahirkan generasi Melayu menjelang 100 tahun UMNO, dengan menekankan kepentingan wanita dalam membentuk generasi tersebut dari akar umbi.
“Wanita adalah pencorak generasi. Jika kita mahu melihat bangsa yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing, maka wanita mesti diperkasa dari segi pendidikan, ekonomi dan kepimpinan,” jelas beliau.
Beliau turut menyeru seluruh ahli Wanita UMNO agar menjadikan amanat 80 tahun ini sebagai titik kebangkitan baharu dengan memperkukuh kesatuan, memperbaiki kelemahan dan terus setia kepada perjuangan parti.
“Ini bukan sekadar refleksi sejarah, tetapi satu seruan untuk bertindak. Wanita UMNO akan terus menjadi nadi kepada kekuatan parti, demi agama, bangsa dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online
