Cermin Keprihatinan … Pemuda UMNO Mersing Sokong Penuh BKJ Fasa Keempat
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Mersing menyokong penuh pengumuman pelaksanaan 22 inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Johor.
Ketuanya, Azhar Zainal Abidin menerusi satu kenyataan berkata, langkah tersebut mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri Johor untuk memastikan peningkatan hasil negeri dikembalikan kepada rakyat.

“Pemuda UMNO Bahagian Mersing menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman pelaksanaan 22 inisiatif BKJ Fasa Keempat yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Johor.
“Langkah ini jelas mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan peningkatan hasil negeri dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk bantuan yang menyeluruh, tersusun dan berfokus kepada kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
“Pemuda UMNO Bahagian Mersing melihat inisiatif ini sebagai usaha berterusan yang amat signifikan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan sasar seperti warga emas, suri rumah, peniaga kecil, belia dan kumpulan rentan lain yang turut menerima manfaat secara langsung,” katanya.
Ujarnya, inisiatif tersebut amat bertepatan dengan situasi ekonomi semasa untuk membantu rakyat yang terkesan.

“Situasi semasa seperti peribahasa ‘bagai telur di hujung tanduk’; keadaan kos sara hidup hari ini menuntut tindakan segera dan berkesan; justeru, inisiatif ini tepat pada masanya dalam membantu rakyat yang terkesan.
“Selain itu, pendekatan inklusif yang merangkumi aspek sosial, ekonomi, pendidikan dan kebajikan ini turut memperkukuh agenda pembangunan Negeri Johor yang progresif serta berdaya saing.
“Sehubungan itu, Pemuda UMNO Bahagian Mersing menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha ini dan akan terus berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan sampai kepada rakyat dengan berkesan,” katanya lagi.
Pada Isnin media melaporkan, sebanyak RM138 juta telah diperuntukkan menerusi pelaksanaan inisiatif BKJ fasa keempat yang memberi manfaat kepada lebih 600,000 Bangsa Johor.
Sebanyak 22 inisiatif diperkenalkan di bawah BKJ fasa keempat, merangkumi pelbagai lapisan masyarakat, termasuk warga emas, suri rumah, pasangan muda, peniaga kecil, golongan orang kurang upaya (OKU), anak yatim serta penggerak komuniti dan sukarelawan.
Antara inisiatif utama, termasuk bantuan tunai RM200 kepada lebih 307,000 warga emas; RM200 kepada 136,000 suri rumah tidak bekerja serta RM400 kepada 45,000 pasangan yang baru berkahwin. – UMNO Online
