ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan Junjung Adat Dan Pertahankan Perlembagaan Negeri
SEREMBAN, 4 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menegaskan pendirian dan tidak berubah terhadap kepimpinan Menteri Besar negeri itu, dengan menolak sebarang pendekatan politik tidak berlandaskan tertib dan prinsip.
ADUN Juasseh merangkap Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, isu yang dibangkitkan bukanlah berkaitan perebutan jawatan mahupun dakwaan “tebuk atap”, sebaliknya menyentuh soal keyakinan terhadap kepimpinan, keabsahan pentadbiran serta kepatuhan kepada adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Saya bersama rakan-rakan ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan menegaskan bahawa pendirian kami adalah jelas dan tidak berubah. Ini bukan soal perebutan jawatan. Ini bukan soal ‘tebuk atap’. Ini soal keyakinan, keabsahan kepimpinan, tertib pentadbiran, adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan berkataan hal ini.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO tidak pernah mengamalkan politik pintu belakang dalam menangani sebarang isu kepimpinan, sebaliknya menuntut penyelesaian secara berperaturan dan berlandaskan undang-undang.
“UMNO tidak mencari jalan belakang. UMNO menuntut jalan yang betul. Apabila keyakinan terhadap Menteri Besar telah terhakis, penyelesaiannya bukan melalui tuduhan politik, bukan melalui spekulasi dan bukan melalui kenyataan yang mengelirukan rakyat,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan komitmen untuk terus menjunjung institusi Raja-Raja Melayu, menghormati adat Negeri Sembilan serta mempertahankan Perlembagaan Negeri demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
“Kami kekal menjunjung institusi Raja, menghormati adat Negeri Sembilan, mempertahankan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan menjaga kestabilan rakyat,” jelasnya.
Namun begitu, beliau menambah bahawa kestabilan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menutup kelemahan atau mengelakkan pertanggungjawaban dalam pentadbiran.
“Kestabilan tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup kelemahan kepimpinan atau mengelak pertanggungjawaban,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa suara yang disuarakan adalah berasaskan prinsip dan tanggungjawab terhadap rakyat serta institusi negeri.
“Junjung adat. Pertahankan Perlembagaan Negeri,” katanya lagi. – UMNO Online
